ALOR SETAR : Sebanyak 398 etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depoh Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu dekat sini semalam telah ditahan semula setakat pukul 5 pagi ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mereka yang ditahan semula itu terdiri daripada 192 lelaki, 75 wanita, 63 kanak-kanak lelaki dan 60 kanak-kanak perempuan.
“Daripada jumlah tahanan yang berjaya ditahan semula itu, terdapat dua individu yang cedera dan perlu mendapatkan rawatan.
“Mereka terdiri daripada seorang lelaki yang dibawa ke Hospital Sungai Bakap dan seorang perempuan yang kini dirawat di Hospital Seberang Jaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi semalam, seramai 528 tahanan daripada 664 tahanan di depoh tersebut melarikan diri selepas berlaku rusuhan kecil.
Enam tahanan yang melarikan diri itu termasuk dua kanak-kanak maut selepas dirempuh kenderaan ketika mahu melintas Lebuh Raya Utara-Selatan di Kilometer 165 lebuh raya tersebut kira-kira pukul 6.50 pagi.
Wan Hassan berkata, pihaknya dengan dibantu pelbagai agensi lain kini giat memburu 130 individu yang masih bebas terdiri daripada 99 lelaki dewasa, 21 perempuan dewasa, lima kanak-kanak perempuan dan lima kanak-kanak lelaki.
“Dalam masa sama, usaha memindahkan tahanan yang masih berada di situ serta yang ditahan semula giat dijalankan dalam tempoh 24 jam ini.
“Seramai 144 tahanan akan dipindahkan ke Depoh Semenyih di Selangor, 100 ke depoh Langkap di Perak, 104 ke Depoh Machap Umboo di Melaka dan 100 ke Depoh Bukit Jalil di Selangor,” katanya.
-Utusan Online