KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim menegaskan isu pelarian Rohingya perlu dilihat dari sudut kemanusiaan, namun pada masa sama golongan tersebut wajib mematuhi undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa di Malaysia.
Menurut beliau, cadangan supaya pelarian Rohingya dihantar pulang bukanlah perkara mudah kerana Malaysia berdepan kesukaran berhubung kerajaan Myanmar yang menghalang usaha tersebut.
“Ini isu kemanusiaan. Orang boleh bicara hantar pulang, hantar pulang ke mana? Sebab kita ada masalah dengan kerajaan Myanmar yang menghalang,” katanya.
Anwar berkata, beliau telah dua kali mengadakan rundingan dengan kepimpinan Myanmar dan mengemukakan dua tuntutan utama, iaitu memastikan bantuan kemanusiaan yang disalurkan memberi manfaat kepada semua pihak serta menghentikan penindasan dan jenayah terhadap rakyat Myanmar.
Beliau menjelaskan tuntutan tersebut melibatkan masyarakat Rohingya di Rakhine serta rakyat Myanmar secara keseluruhan tanpa mengira agama dan kaum.
“Setakat ini kita dapat memantau keadaan yang jauh lebih baik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui usaha mencari penyelesaian jangka panjang termasuk penghantaran pelarian ke negara ketiga atau membawa mereka pulang ke negara asal masih belum berjaya.
Menurutnya, masalah itu bukan hanya dihadapi Malaysia, malah negara lain di rantau ini termasuk Bangladesh yang menempatkan jutaan pelarian di kawasan seperti Cox’s Bazar.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah membincangkan isu berkenaan dengan Perdana Menteri Jepun semasa lawatannya ke Jepun baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pelarian Rohingya yang berada di Malaysia supaya menghormati dan mematuhi segala peraturan negara termasuk berkaitan perniagaan, bangunan dan aktiviti harian.
“Bangunan dan perniagaan mesti mengikut peraturan. Jika tidak dipatuhi, kita terpaksa mengambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, kerajaan juga akan berbincang dengan kerajaan negeri kerana isu berkaitan bangunan dan penguatkuasaan perbandaran berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.
Pada masa sama, Anwar berharap rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Islam, terus mengekalkan nilai kemanusiaan dalam menangani isu pelarian sambil menghormati undang-undang negara.
“Tetapi saya harap rakyat kita.terutama masyarakat Islam yang berdepan harus menjaga kemanusiaan kita dan janganlah melanggar peraturan undang-undang dalam menangani masalah ini,” katanya. – MYNEWSHUB


