KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali mendakwa terdapat lambakan pelarian Rohingya di Kelantan dan Terengganu.
Sshubungan itu, beliau menerusi satu hantaran di media sosial mempersoalkan sama ada Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari tidak mengambil kisah tentang perkara itu.
Beliau turut mendakwa pelarian Rohingya mula diterima masuk ke Malaysia pada zaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Kenyataan itu susulan kritikan PAS terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput dan menerima kunjungan rasmi Min Aung Hlaing, pemimpin junta tentera Myanmar ke Malaysia baru-baru ini.
“Sekarang PM (Anwar) berunding dgn PM Myanmar (Presiden Myanmar) untuk pastikan penghantaran pulang pelarian dan PATI (pendatang asing tanpa izin) dari Myanmar dihantar pulang.
“Yang mula terima masuk Rohingya zaman Najib Razak, Hadi Awang hari itu. Bila kerajaan Malaysia nak daftarkan Rohingya supaya yang duk (duduk) sini ada sistem geng pembangkang marah.
“Bila kita hantar pulang guna kapal perang Myanmar dia juga marah. Rohingya yang berlambak di Kelantan dan Terengganu kamu ambik kisah ke tidak?,” dakwanya hari ini.
Terdahulu, Mohd Hisyamuddin menyindir Ahmad Fadhli mungkin tidak sedar kawasan Parlimennya iaitu Pasir Mas sekarang laluan masuk Rohingya dan pendatang asing di Malaysia.
“Pihak PDRM Kelantan bukan main ‘all out: nak robohkan jeti haram yang bawa masuk PATI, pada masa sama Kerajaan Pusat nak buat tembok jeriji sepanjang Sungai Golok untuk pastikan PATI, senjata, dadah dan penyeludupan tak masuk,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Syam Ghaz


