KUALA LUMPUR : Pengusaha kantin perlu diberikan geran khas dan bantuan khusus untuk memulakan operasi apabila sesi persekolahan dibuka semula kelak.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, ketika mengulangi gesaan itu berkata, geran khas berupaya membantu pengusaha kembali memulakan operasi apabila sekolah dibuka, manakala bantuan khusus akan meringankan beban pekerja kantin yang terbabit kerana kebanyakannya tidak boleh memohon skim upah pekerja sedia ada.
Katanya, sistem penggiliran sekolah juga menyebabkan kapasiti murid berkurangan sebanyak 50 peratus.
“Berdasarkan kadar itu, kehadiran murid pula menunjukkan pola kemerosotan apabila ia tidak mencapai 60 peratus, malah bukan semua yang ke sekolah membeli makanan di kantin.
“Beban mereka menjadi semakin meruncing dengan prosedur operasi standard (SOP) yang hanya membenarkan murid membuat pesanan makanan.
“Pengusaha kantin mendakwa, mereka hanya memperoleh pesanan sekitar 10 hingga 20 peratus daripada jumlah murid yang hadir. Mereka juga terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi membeli bekas makanan pakai buang serta memberikan gaji kepada pekerja tambahan bagi menghantar makanan ke kelas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, kos bahan mentah yang meningkat ketika ini membebankan lagi keperitan hidup golongan itu, selain tidak dibenarkan menaikkan harga makanan kerana tertakluk kepada perjanjian dibuat sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa mengambil kira kenaikan harga barang pada masa kini
“Menerusi pendekatan ini, saya menaruh keyakinan 70,000 pekerja kantin di seluruh negara yang kini berdepan kesan negatif berikutan COVID-19 dapat diselamatkan.
“Saya juga menggesa kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM4 berdasarkan keadaan barangan basah semasa semakin mahal.
“Jika kekalkan kadar lama, perkara ini akan menjejaskan kualiti makanan serta pengusaha kantin.
“Saya juga konsisten menyeru Sarapan Pagi Percuma dilaksanakan dengan penerima RMT perlu diperluaskan dengan bukan hanya terhad kepada pelajar dalam kalangan keluarga B40, tetapi untuk M40 yang memerlukan,” katanya.
-Berita Harian

