Faktanya penyokong Malaysia sedang berputih mata. Hanya sekadar mendengar kehebatan pasukan lain dalam Piala AFF.
Indonesia, Vietnam, Singapura dan sama waktu dengannya.
Malaysia awal terkeluar daripada saingan selepas tewas 1-4 kepada Indonesia pada perlawanan terakhir Kumpulan B.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia kini bertaraf belasahan. Gelaran Harimau Malaya kian tenggelam dan lemas.
Satu-satunya yang tidak tenggelam adalah gaji dan elaun mereka yang menguasai pentadbiran bola sepak Malaysia.
Rasanya bola sepak Malaysia sudah boleh berhenti bernostalgia kehebatan masa lalu kerana hari ini sudah jauh berbeza.
Langsung tiada apa boleh dibanggakan. Jika kejayaan lalu sebagai semangat, sudah berpuluh tahun semangat sama diulang.
Semalam ramai rakyat Malaysia memuji perlawanan separuh akhir antara Indonesia dan Singapura.
Ratanya-ratanya menyifatkan ia sebuah perlawanan bola sepak yang cukup hebat untuk disaksikan.
Begitu sahajalah cara rakyat Malaysia dapat menumpang keseronokan penyokong negara lain.
Dengan melihat aksi cemerlang pasukan milik negara lain. Sadis sungguh keadaan begitu.
Sebenarnya kita ada figura yang berpotensi untuk menaikkan semula bola sepak Malaysia.
Insan yang ada jiwa dan prestij untuk sukan itu, namun acapkali dikritik segelintir penyokong Malaysia apabila namanya disebut.
Gara-gara ketaksuban mereka pada persaingan domestik Piala FA, Kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia.
Pasti ramai masih ingat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah dipilih menjadi Presiden FAM.
Namun apa sahaja dilakukannya ketika itu dicemuh dan dikutuk oleh sebilangan penyokong bola sepak Malaysia.
Tanpa langsung diberi peluang, ruang dan masa mencukupi untuk memperbetulkan pengurusan skuad kebangsaan.
Tunku Ismail hanya memegang jawatan Presiden FAM selama setahun sebelum meletak jawatan pada 25 Mac 2018.
Maka pasukan negara telah kerugian lebih tiga tahun untuk mencapai sekurang-kurangnya suatu lonjakan baharu hari ini.
Benar sebahagian pemain Harimau Malaya ketika ini daripada kelab JDT yang dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor.
Bagaimanapun sukan bola sepak adalah tentang pasukan, bukan individu. Berkait pengurusan, misi, visi dan hala tuju.
Jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang dan Tunku Ismail langsung tidak diberi peluang untuk kedua-duanya.
Justeru jika ada suara-suara meminta Tunku Ismail kembali dalam pentadbiran bola sepak Malaysia rasanya tidak perlu disahut.
Kerana ia langsung tidak berbaloi untuk Tunku Ismail apatah lagi penyokong JDT yang terpaksa makan hati.
Sebilangan penyokong bola sepak Malaysia masih dikuasai sentimen anti-JDT yang sangat keterlaluan dan “overdose”.
Mungkin bagi mereka biarlah terus tenggelam selagi bukan TMJ yang mengembalikan kegemilangan bola sepak Malaysia.
-Mynewshub