JOHOR BAHRU – Inisiatif Biasiswa Orang Muda Johor (BOMJ) terus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan generasi muda bertaraf global apabila tiga pelajar cemerlang berjaya menempatkan diri di universiti terkemuka dunia.
Tiga penerima biasiswa tersebut ialah Lee Chong Ming, Muhammad Fauzi Syazwan Mohd Zaki dan M. Lakshman.
Muhammad Fauzi Syahmi berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Bahan di Columbia University, Amerika Syarikat.
Manakala Laxmann dan Chong Ming diterima masuk ke Imperial College London, masing-masing dalam bidang Bioteknologi serta Kejuruteraan Kimia.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian itu bukan sahaja membanggakan seluruh Bangsa Johor, malah membuktikan anak Johor mampu bersaing dengan pelajar terbaik dunia.
“Syukur Alhamdulillah saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada tiga pelajar sulung daripada kohort BOMJ 2023 yang kini berjaya menempatkan diri di universiti terkemuka dunia.
Insya-Allah, mereka akan kembali membawa pulang bukan sahaja ilmu, tetapi pengalaman dan jaringan global, demi memacu kemajuan Johor di masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, baru-baru ini.
Onn turut menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menekankan kepentingan pendidikan berkualiti sebagai asas membina masa depan cemerlang untuk anak-anak Bangsa Johor.

Syarat ketat, peluang besar
Program berprestij itu menawarkan pembiayaan penuh kepada anak Johor yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus membuka laluan kepada mereka melanjutkan pengajian di institusi pendidikan elit antarabangsa.
Biasiswa ini menetapkan beberapa kriteria ketat bagi memastikan hanya calon terbaik dipilih, antaranya memperoleh sekurang-kurangnya 9A dalam SPM, berumur tidak melebihi 19 tahun serta merupakan anak Johor atau telah menetap di negeri itu sekurang-kurangnya lima tahun.
Menariknya, program ini turut membuka peluang secara inklusif tanpa syarat pendapatan isi rumah, sekali gus memastikan bakat luar biasa tidak disekat oleh kekangan kewangan.
Bidang pengajian yang diberi keutamaan merangkumi Sains dan Teknologi, Sains Sosial serta Kejuruteraan dan Teknikal – selari dengan keperluan pembangunan masa depan negeri dan negara.
Pelaburan masa depan negeri
Inisiatif BOMJ dilihat sebagai langkah strategik dalam membina modal insan berkualiti tinggi yang mampu kembali menyumbang kepada pembangunan Johor khususnya, dan Malaysia secara keseluruhan.
Pemerhati pendidikan menyifatkan usaha ini sebagai satu pelaburan jangka panjang yang bukan sahaja meningkatkan daya saing negeri di peringkat global, malah membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk mencapai potensi maksimum mereka.
Dengan pembukaan permohonan yang berlangsung dari 6 hingga 19 April, program ini dijangka terus menarik minat pelajar cemerlang di seluruh Johor.
Langkah tepat, masa depan cerah
Secara keseluruhannya, Biasiswa Orang Muda Johor bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol kepercayaan terhadap kebolehan anak tempatan untuk bersaing di pentas dunia.
Usaha murni ini wajar dipuji kerana bukan sahaja mengangkat martabat pendidikan negeri, malah menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan akademik.
Mynewshub melihat inisiatif ini sebagai contoh terbaik bagaimana pelaburan dalam pendidikan mampu mengubah masa depan – bukan sahaja individu, tetapi seluruh negeri. –MYNEWSHUB


