KUALA LUMPUR : Sebanyak 97.5 peratus guru sudah lengkap vaksinasi COVID-19, setakat 31 Oktober lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata jumlah guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin itu pula ialah sebanyak 99.04 peratus.
“Statistik dan data ini dikeluarkan dari semasa ke semasa.
“Mengenai tindakan bakal diambil terhadap guru yang enggan mengambil vaksin terbabit pula, ia akan berpandu kepada arahan dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) yang bertanya Kementerian Pendidikan mengenai jumlah guru yang sudah menerima vaksin COVID-19, setakat ini.
Sementara itu menjawab soalan asal Ling Biu mengenai dasar pemindahan guru, Hang Soon berkata, ia adalah berdasar tiga prinsip asas.
“Tiga prinsip asas itu ialah kekosongan jawatan, keperluan opsyen serta kepentingan dan keperluan perkhidmatan.
“Dalam hal ini, permohonan pertukaran boleh dibuat berdasarkan beberapa kategori, iaitu kesihatan, keselamatan, mengikut pasangan dan lain-lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pertimbangan permohonan pertukaran guru dibuat berdasarkan prinsip asas terbabit serta kategori permohonan yang ditetapkan.
“Berdasarkan rekod kementerian dari 2017 hingga 2021, seramai 1,023 guru yang berasal dari Sarawak telah diluluskan pertukaran dari Semenanjung ke negeri berkenaan,” katanya.
-Berita Harian

