KUCHING – Seorang guru sebuah sekolah antarabangsa di sini cedera ketika cuba merampas objek tajam yang dibawa seorang pelajar berusia 16 tahun tanpa kebenaran dalam kejadian pada pagi Rabu.
Memetik laporan media tempatan, kejadian berlaku di kawasan TK4 sebelum guru terbabit dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas pihak sekolah menghubungi perkhidmatan ambulans.
Susulan insiden itu, pelajar berkenaan segera dikawal dan dibawa ke pejabat Pengetua sebelum diletakkan di bawah pengawasan sementara menunggu tindakan lanjut.
Polis yang tiba di lokasi kemudian mengambil alih pengendalian kes, manakala ibu bapa pelajar terbabit turut dihubungi pihak sekolah.
Lapor media, pemeriksaan polis terhadap beg pelajar itu turut menemukan satu barangan yang memerlukan pemeriksaan lanjut, namun pihak sekolah tidak memperincikan jenis barangan berkenaan.
Setakat ini, tiada kecederaan lain dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Sebagai langkah berjaga-jaga dan atas nasihat polis, pihak sekolah mengarahkan penutupan sekolah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Ibu bapa turut diminta mengambil anak masing-masing pulang lebih awal.
Sementara itu, satu rakaman video yang didakwa memperlihatkan pelajar terbabit membuat siaran langsung di media sosial ketika kejadian berkenaan tular.
Bagaimanapun, kesahihan rakaman tersebut termasuk dakwaan bahawa ia memaparkan kejadian sama masih belum dapat disahkan.
Kes kini dalam pengendalian pihak polis untuk siasatan lanjut. – MYNEWSHUB


