KUALA LUMPUR – Langkah yang baik, dapat kongsi kesusahan bersama, itu reaksi beberapa Menteri dan Timbalan Menteri susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.
Perdana Menteri mengumumkan bahawa Menteri dan Timbalan Menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, beliau tidak ada halangan untuk tidak mengambil gaji dalam tempoh tiga bulan kerana sedar ada pihak lebih memerlukan.
“Ini demi membantu negara ketika kita masih terus menangani wabak Covid-19,” katanya.
Bagi Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad pula, ia adalah solidariti daripada anggota Kabinet yang turut sama berdepan penularan wabak.
“Anggota Kabinet juga memahami bahawa keadaan sukar dan kerajaan serius menangani kesan Covid-19 kepada ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain tidak mengambil gaji, partinya juga akan melaksanakan potongan 20 peratus tambahan dari peruntukan Parlimen kepada PAS.
Menurutnya, PAS melancarkan Tabung Bantuan Covid-19 dengan Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti berkenaan diwajibkan menyumbang bagi meringankan bebanan ahli dan petugas parti yang menghadapi sekatan pergerakan penuh yang bermula hari ini.
“Saya dan rakan-rakan lain menyambut baik langkah yang diambil sebagai tindakan prihatin Menteri, Timbalan Menteri dan wakil rakyat daripada PAS,” katanya
Bagi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, pengumuman itu kena pada masanya ketika semua pihak sedang berjuang melawan wabak.
Menurutnya, ia menunjukkan satu kebersamaan antara anggota Kabinet dan masyarakat kerana isu Covid-19 memberi kesan kepada semua pihak di setiap peringkat. – myMetro Online

