KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan seorang menteri menerima RM9.5 juta bagi menyelesaikan isu berkaitan ‘mafia korporat’ sebagai kenyataan politik yang tidak disandarkan kepada sebarang keterangan.
Anwar berkata, menteri terbabit telah menjawab dan mencabar dakwaan berkenaan melalui saluran mahkamah.
“Yang dibangkitkan tentang menteri 9.5 juta, itu kenyataan politik tidak disandarkan kepada apa-apa keterangan dan Menteri berkenaan telah pun mencabar dan menjawab dan bawa urusan itu ke mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berhubung dakwaan seorang menteri menerima RM9.5 juta sebagai orang tengah dalam isu ‘mafia korporat’
Rosol turut menyebut nama Victor Chin, Farhash dan Azam Baki serta mempersoalkan sama ada wang RM9.5 juta yang didakwa diterima itu dikategorikan sebagai ‘sakau’, sumbangan, ehsan atau ‘cekau’.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan istilah ‘sakau’ tidak terhad kepada mana-mana parti politik dan tindakan perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan.
“Siapa yang sakau termasuk kalau dalam parti saya pun, jalan lah,” katanya.
Anwar turut menyindir bekas menteri yang hanya lantang membangkitkan sesuatu isu selepas tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.
“Kadang-kadang orang itu masa dia Menteri tak pernah bercakap. Esok bila dah pencen atau terkeluar atau jadi pembangkang baru nak meluahkan padahal dia duduk di sini dulu sepatutnya hal-hal ini,” katanya.
Beliau berkata, anggota Jemaah Menteri sentiasa diingatkan supaya menggunakan kuasa dengan baik dan melakukan pembetulan ketika masih memegang jawatan.
Anwar turut menegaskan beliau tidak menghalang pendakwaan termasuk terhadap ahli PKR dan bekas setiausaha politiknya.
Beliau juga mempersoalkan mengapa tiada pendakwaan terhadap beberapa kes besar sebelum 2022 termasuk kes Serba Dinamik yang menurutnya menyebabkan kerugian RM5 bilion hingga RM6 bilion.
“Kalau ada bukti, dedahkan. Ini perbezaannya,” katanya. – MYNEWSHUB


