MELAKA – Pelbagai faktor yang mempengaruhi harga telur ayam perlu difahami, termasuk cabaran dihadapi pihak industri sebelum bekalan sampai kepada pengguna.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, harga telur ayam bukan hanya bergantung kepada harga jualan di kedai, sebaliknya turut dipengaruhi kos pengeluaran, pengangkutan dan pengedaran.
Menurutnya, kerajaan menanggung subsidi bahan api hampir RM40 bilion bagi tahun 2026, termasuk diesel bagi membantu mengurangkan tekanan kos pengangkutan barangan.
“Bila beli ayam dan telur, kita biasanya tengok harga di kedai. Tapi sebelum sampai ke situ, ada kos pengeluaran, pengangkutan dan pengedaran yang turut mempengaruhi harga yang kita bayar,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Fuziah berkata, meskipun harga telur ayam tidak lagi dikawal, kerajaan tetap memantau perkembangan bekalan dan harga bagi memastikan pengguna dapat membelinya pada kadar munasabah.
Beliau berkata, kunjungannya ke Huat Lai Resources di Merlimau, Melaka hari ini bertujuan meninjau sendiri operasi penternakan ayam penelur selain mendengar cabaran dihadapi pengusaha industri berkenaan.
“Banyak perkara yang perlu difahami sebelum telur sampai ke kedai dan akhirnya ke dapur kita,” katanya.
Menurut Fuziah, KPDN turut meneliti perkembangan pengeluaran, bekalan dan pengedaran bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan perubahan harga pada setiap peringkat.
Katanya, pemantauan terhadap amalan perdagangan juga diteruskan bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa dilindungi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Huat Lai Resources atas kerjasama dan perkongsian sepanjang lawatan berkenaan.
“Kita teruskan usaha supaya bekalan mencukupi dan harga berpatutan untuk rakyat,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fuziah Salleh



