• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Tuesday, April 14, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Nasib Rakyat B40 Lebih Teruk Selepas PKP

oleh
30/10/2020
dalam Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

SHAH ALAM – Kehidupan rakyat berpendapatan rendah (B40) khususnya bagi ketua keluarga kurang upaya dan isi rumah yang diketuai wanita di bandar mengalami kesan lebih teruk selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei lalu.

Dapatan itu diperoleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) melalui kajian kedua Keluarga di Pinggiran: Bagaimana Mereka Selepas PKP? membabitkan 500 buah keluarga di 16 flat kos rendah di Kuala Lumpur kesan daripada krisis pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia ketika ini.

Pengarah Urusan DM Analytics Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, menerusi kajian yang menumpukan golongan wanita dan kanak-kanak itu, majoriti keluarga lebih terdedah kepada kejutan ekonomi masa depan kerana 68 peratus ketua isi rumah tidak mempunyai simpanan.

Beliau berkata, kadar kemiskinan dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di bandar masih tinggi dengan satu daripada dua keluarga hidup di bawah paras kemiskinan dan kadar ini lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak.

“Ini menunjukkan banyak keluarga berpendapatan rendah di bandar mengalami kesempitan yang ketara dan berterusan. Malah 70 peratus daripada keluarga ini memberitahu bagaimana Covid-19 menjejaskan kemampuan mereka untuk memenuhi perbelanjaan kehidupan asas, dengan 37 peratus berkata mereka bertungkus lumus untuk membeli makanan yang cukup kepada ahli keluarga.

“Kaji selidik kedua ini juga mengesahkan trend yang dikenal pasti dalam kaji selidik pertama, iaitu ketua keluarga wanita dan ketua keluarga kurang upaya merasakan mereka sukar untuk keluar daripada kesan sosioekonomi akibat Covid-19. Beban tanggungan dalam keluarga-keluarga ini lebih ketara kerana kadar pengangguran yang tinggi di samping ramai yang bekerja sendiri.

“Tidak hairan apabila banyak responden yang pesimistik tentang masa depan, hanya 14 ketua keluarga, menjangkakan status kewangan mereka akan lebih baik dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya ketika membentangkan hasil kajian Isu kedua Keluarga di Pinggiran: Bagaimana Mereka Selepas PKP? menerusi aplikasi Zoom sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Dr Muhammed berkata, dengan pembukaan sekolah selepas PKP ditamatkan, ia turut menimbulkan cabaran baharu dalam pendidikan.

Katanya, tujuh peratus kanak-kanak sekolah menengah yang mana sembilan peratus lelaki dalam kalangan keluarga B40 ini dilaporkan tidak kembali ke sekolah dan hampir satu daripada lima ibu bapa melaporkan anak-anak mereka sudah hilang minat untuk belajar.

“Ia terutama membabitkan anak-anak ibu tunggal iaitu 25 peratus (satu daripada empat). Selebihnya, sebahagian besar keluarga yang menyertai kajian ini memberitahu mereka sukar menanggung kos yang berkaitan kehadiran ke sekolah dengan ketua keluarga wanita sekali lagi menderita.

“Covid-19 telah meningkatkan perbelanjaan rumah tangga; lebih kurang empat daripada 10 kesemua ketua isi rumah dan satu daripada dua ketua isi rumah wanita melaporkan kesukaran menyediakan pelitup muka untuk anak-anak,” katanya.

Katanya, memandangkan pembukaan sekolah selari dengan pengangguran yang berterusan dan pendapatan yang berkurangan, kebanyakan isi rumah berpendapatan rendah akan menghadapi tekanan kewangan yang lebih tinggi berbanding semasa PKP dilaksanakan.

Jelasnya, ini menunjukkan bagaimana faktor kewangan dan kesan psikososial Covid-19 menambahkan risiko putus sekolah bagi kanak-kanak dari isi rumah berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, kajian sama turut menunjukkan kesan negatif psikososial krisis masih berpanjangan selepas PKP, dengan hampir satu daripada lima ketua keluarga melaporkan mereka tertekan yang mana lebih tinggi dalam kalangan ketua keluarga wanita.

Menurutnya, walaupun tidak ramai yang mengadu ada masalah tekanan psikososial yang lebih teruk iaitu emosi tidak stabil, gagal mengawal tingkah laku dan tidak dapat menumpukan perhatian, risiko kesejahteraan ibu bapa dan seterusnya anak-anak sangat membimbangkan.

“Kedudukan kewangan yang terus goyah dikatakan punca utama keadaan ini. Malah, ada bukti ketegangan meningkat antara pasangan suami isteri serta turut melibatkan pengasuh.

“Kajian antarabangsa mencadangkan keadaan sedemikian meningkatkan kemungkinan keganasan fizikal dan psikososial terhadap wanita dan kanak-kanak di rumah,” katanya. – Sinar Harian

Tags: B40Covid-19perintah kawalan pergerakanrakyat Malaysia
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Rundingan Iran-AS Gagal, Adakah Rakyat Malaysia Sudah Bersedia?

Rundingan Iran-AS Gagal, Adakah Rakyat Malaysia Sudah Bersedia?

12/04/2026
0

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan rakyat Malaysia agar bersedia menghadapi kemungkinan ketidaktentuan global susulan...

90% Rakyat Malaysia Hanya Guna 100 Liter Petrol Sebulan

90% Rakyat Malaysia Hanya Guna 100 Liter Petrol Sebulan

27/03/2026
0

KUALA LUMPUR - Data menunjukkan hampir 90 peratus rakyat Malaysia hanya menggunakan secara purata 100 liter petrol sebulan. Ia bermakna...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd