KUALA LUMPUR – Pengusaha stesen minyak wajib menyediakan cecair pembasmi kuman atau pembersih tangan di semua pam minyak masing-masing berikutan kebimbangan terhadap jangkitan COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob, berkata ramai yang meminta stesen minyak menambah pekerja untuk membantu pelanggan mengisi minyak kerana kebimbangan penularan jangkitan.
Katanya, kerajaan berpandangan langkah untuk menambah pekerja di stesen minyak sukar untuk dilaksanakan ketika ini.
“Kita berpandangan lebih baik mewajibkan stesen minyak menyediakan ‘hand sanitizer’ dan setiap pemandu perlu mencuci tangan sebelum dan selepas mengepam minyak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini. – BH Online

