PUTRAJAYA – Ketua Armada Malaysia Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menegaskan parti itu tidak sepatutnya menjadi klon UMNO tetapi perlu mengutamakan agenda Melayu dalam perjuangannya.
Beliau yang mengingatkan mengenai budaya UMNO yang berbahaya, PPBM tidak sepatutnya berubah menjadi seperti parti yang hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum 9 Mei lepas, itu.
“KIta adalah PPBM, bukan UMNO. Biar mereka buat kerja kotor dalam politik. Kita lebih tinggi daripada itu. Moral dan nilai yang kita bawa tidak boleh direndah-rendahkan atau dipijak hanya kerana mahu menang pilihan raya,” katanya.
Syed Saddiq berkata demikian dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Tahunan Armada, yang merupakan sayap PPBM, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Dalam PPBM, katanya, tidak perlu ada budaya sogok menyogok, menjual negara atau memainkan isu perkauman untuk kemandirian politik.
“Jika PPBM mahu jadi UMNO, langkah Armada dahulu. Saya tak benarkan budaya UMNO meresap masuk ke dalam PPBM,” katanya sambil mendesak syarat ketat dikenakan kepada bekas anggota UMNO termasuk pimpinannya yang mengintai keanggotaan dalam PPBM.
Semak salah laku, isytihar harta, tak usah fikir jawatan penting akan diberi. Paling penting, mohon maaf kepada rakyat,” katanya kepada pihak yang berhasrat menyertai PPBM.
Memperkatakan tentang agenda Melayu, Syed Saddiq berkata beliau percaya matlamat PPBM ialah menjadi parti yang mengangkat suara rakyat, suara Melayu dan akar umbi.
“Pendidikan, sara hidup, Islam, ekonomi, tempat tinggal – ini semua adalah ruang dan peluang untuk parti kita bantu Melayu. Melayu tidak boleh ditinggalkan sepanjang PPBM memerintah,” katanya.
Sambil menegaskan suara Melayu perlu dizahirkan dalam polisi dan dasar, beliau berkata orang Melayu perlu melangkah ke hadapan dengan cita-cita dan matlamat sehingga muncul sebagai bangsa yang besar dan bermaruah.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata beliau sedar ada sekumpulan ketua bahagian yang cuba membuang ketua Armada bahagian secara senyap dan mempersoal kredibiliti mereka.
“Jika tidak berpuas hati dengan ketua Armada pusat atau bahagian, guna cara yang betul. Jangan main belakang-belakang. Ikut saluran yang tepat,” katanya.
Menurutnya, ketua Armada bahagian adalah pejuang awal yang bekerja siang malam tanpa gaji.
“Jangan buang mereka sesuka hati. Saya sendiri akan halang dan lawan mereka yang tidak mahu patuh kepada prosedur parti,” katanya.
Perhimpunan tahunan Armada sejak malam tadi hingga petang ini merupakan sebahagian daripada Perhimpunan Agung Tahunan kedua PPBM yang berlangsung tiga hari hingga esok – BERNAMA