SINDIR… Laras bahasa Melayu klasik disulami jenaka oleh Khairy Jamaluddin konon bagi luah ‘hasrat’ jadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ternyata berjaya cuit hati pelbagai pihak.
Keletah itu bukan sekadar lakar gimik politik, malah dilihat sebagai rentetan episod drama Melayu klasik yang mula landa negara susulan isu warkah terbuka nukilan Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa kepada Nurul Izzah Anwar.
Menerusi gambar terbaharu dirinya berlatar belakang Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi tersebut, Khairy yang juga mantan Menteri Belia dan Sukan itu memperagakan pakaian sukan, sambil bertenggek di basikal lasaknya.
Dalam hantaran melalui akaun sosial Instagram khairykj, beliau seolah-olah cuba suntik mesej bahawa hasratnya konon mahu menyerahkan borang bagi jadi ahli PPBM sehingga sanggup berbasikal, tetapi menemui jalan buntu.
“Ke hadapan nenekanda Tun, Cucunda mai (datang) dari jauh nak serah borang. Kalakian (Ketika itu) harapan tinggi bersalaman nenekanda Tun. Namun, bagai kaca terhempas ke batu nenekanda Tun bercuti hari ini.
“Terus tak jadi,” kata Khairy secara sinis yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Parlimen Rembau itu sehingga tular menerusi Instagram apabila terima lebih 80,000 tanda suka dan hampir 3,000 komen netizen.
Jika diteliti ruang komen media sosial berkenaan, ramai yang seakan ‘termakan’ jerat atau helah Khairy sehingga beranggapan beliau tekad untuk ‘lompat’ parti menyertai PPBM seperti diuar-uarkan pelbagai pihak, mutakhir ini.
Aspek lain bahan bualan ialah penggunaan bahasa Melayu klasik ikon muda itu yang sinonim pernah diberi jolokan ‘talk, dark and handsome’ sehingga dilihat undang perbalahan sesama netizen pula. – Agensi/Mynewshub.TV

