KUALA LUMPUR – Penyusutan 99.8 peratus pelaburan asing yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari 2016 hingga 2017 adalah berikutan penamatan mandat pelaburan asing yang dikendalikan pengurus dana luaran itu dalam tempoh tersebut.
“Penamatan tersebut merupakan sebahagian usaha untuk mengimbangi semula aset kami mengalihkan secara strategik mandat Asia Pasifik tidak termasuk Jepun kepada mandat global,” kata Perkeso dalam satu kenyataan hari ini bagi menjelaskan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri Dua yang dikeluarkan pada 3 Dis lepas.
Laporan tersebut menyatakan berlaku kemerosotan ketara dalam pelaburan asing Perkeso, namun punca penurunan itu tidak dijelaskan.
Menurut Perkeso, pelaburan asingnya tidak hilang kedudukannya, sebaliknya direalisasikan menjadi paras tunai.
“Malah, kami menjana keuntungan pelaburan (dalam dolar AS) semasa tempoh itu,” katanya. – BERNAMA

