SONGKLA – Pihak berkuasa Thailand menahan sepasang suami isteri warga Malaysia hari ini kerana mengusahakan sebuah hotel tiga tingkat tanpa lesen di Hatyai.
Ketua Pejabat Imigresen Songkla Kol Shuttares Yingyongdamrongsakul berkata, hotel yang terletak di Jalan Poonakarn, Hatyai menerima tempahan secara dalam talian dari pelanggan Malaysia dan Singapura.
“Hasil pemeriksaan pihak berkuasa, kami mendapati bangunan hotel tidak memiliki lesen kebenaran beroperasi dan menyalahi peraturan perhotelan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pelanggan hotel terbabit dikenakan bayaran antara 2,600 Baht (RM342) dan 2,860 Baht (RM376) bagi penginapan semalam.
Menurut Shuttares, pasangan suami isteri warga Malaysia berusia 50-an itu yang menggunakan visa pelancong untuk menjalankan perniagaan di Thailand akan dihantar pulang ke negara asal mereka. – BERNAMA