GEMPAR… Berpuluh-puluh buah masjid Indonesia yang sering dikunjungi kakitangan kerajaan didapati sebar radikalisme dan hasut kekerasan dilakukan terhadap penduduk bukan Muslim.
Demikian menurut Agensi Perisikan Indonesia semalam yang dipetik oleh agensi berita antarabangasa AFP di Jakarta. Agensi itu bagaimanapun tidak mendedahkan perincian lanjut tentang hasil siasatannya.
Perkara itu terbongkar enam bulan selepas bandar raya kedua terbesar Indonesia, Surabaya, digemparkan dengan satu siri serangan bom nekad di beberapa buah gereja yang meragut nyawa lebih 10 orang.
Difahamkan, Agensi Perisikan Indonesia menyatakan bahawa ia menjalankan siasatan terhadap sekitar 1,000 buah masjid di seluruh kepulauan Asia Tenggara sejak Julai lalu.
Di satu kawasan di Jakarta sahaja, terdapat sekitar 41 masjid dengan imamnya berkhutbah tentang fahaman pelampau kepada jemaah – yang kebanyakan penjawat awam bekerja di pejabat-pejabat kementerian berdekatan.
Agensi itu mendapati, sekitar 17 imam menyuarakan sokongan atau bersimpati dengan ISIS dan menggalak para jemaah untuk ikut berperang dengan kumpulan jihad di Syria dan Marawi.
Sebilangan imam juga mengajak para jemaah supaya berikrar setia dengan Daesh – yang mengaku bertanggungjawab atas serangan bom di Surabaya – dan meminggirkan kaum-kaum minoriti.
“Sebahagian besar mereka yang berkunjung ke masjid itu merupakan pekerja awam. Sebab itu ini membimbangkan,” kata jurucakap agensi perisikan Wawan Purwanto kepada AFP.
“Merekalah orang-orang yang mengelolakan negara ini.”
Namun, ia menyatakan bahawa ia menemui tanda-tanda radikalisme yang membimbangkan di tujuh kampus universiti di antara beberapa ratus tempat yang diperiksa.
Siasatan itu dijalankan selepas satu laporan dikeluarkan tahun lalu mendedahkan terdapat imam-imam di beberapa masjid Indonesia yang menyuarakan sokongan terhadap Daesh.
Indonesia sudah memperketat undang-undang antipengganasan bagi memberi kuasa kepada pemerintah untuk memberkas para suspek menyusuli insiden pengeboman yang berlaku di Surabaya.
Purwanto bagaimanapun mendedahkan bahawa agensi akan ambil pendekatan lebih halus dalam tangani ‘imam-imam radikal’ dengan cuba meyakinkan mereka supaya sebarkan ajaran yang lebih cenderung kepada keamanan.
Seorang pakar pengganasan, Sidney Jones, pula menekankan, agensi tersebut perlu melakukan lebih dari sekadar itu.
“Ia tidak mencukupi untuk sekadar mencuba meyakinkan para imam – anda perlu bertemu dengan jawatankuasa pembangunan masjid dan mencari tahu siapa yang bertanggungjawab atas urusan kewangan masjid,” katanya.
“Dan anda perlu mengerti mengapa ada sokongan daripada masyarakat tempatan.” – Agensi/Mynewshub.TV

