• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Tuesday, May 26, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Pemimpin Jiwa Besar Hormati Kehendak Rakyat

oleh Ahmad Albab
09/11/2018
dalam Politik, Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

TITAH Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sambutan ulang tahun keputeraan baginda, Jumaat lalu, memberikan inspirasi bahawa umarak atau pemerintah seperti raja, perlu membicarakan isu politik dalam bentuk yang sihat dan seimbang.

Ketika menyentuh catatan sejarah yang baharu bagi negara kita, baginda bertitah “ 2018, mencatat sejarah baharu kepada negara yang mencecah 61 tahun usia kemerdekaan. Negara dihampar dengan senario politik baharu, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Majoriti pengundi membuat pilihan menukar kerajaan, pada peringkat Persekutuan, demikian juga di kebanyakan negeri”.

Persoalan dizahirkan baginda ketika berbicara mengenai politik negara ini, bukanlah berdasarkan politik partisan melulu, atau sikap taasub melampau terhadap politik kepartian tertentu, tanpa adil dan saksama, logik dan rasional akal fikiran.

Hal ini diberikan kebaikannya kepada semua rakyat, malah peneraju dan pimpinan politik sendiri dengan ungkapan baginda bahawa “Peralihan kuasa terlaksana secara aman, kerana sifat dan jiwa besar pimpinan politik, terutama mereka yang berada di pihak yang tewas, memilih tidak mencetuskan huru-hara dan tidak melakukan tindakan yang boleh menghalang proses peralihan kuasa berjalan secara bertamadun.”

Politik matang

Inilah gambaran kestabilan pemikiran pimpinan politik dalam negara yang mengamalkan dasar politik matang dengan rukun demokrasi dalam negara dan sistem pemerintahan di negara kita, terutama pemerintahan Diraja.

Kematangan politik ini amat mudah diturunkan ke peringkat akar umbi, rakyat jelata, sehingga segala kepincangan yang biasanya berlaku di kebanyakan negara dunia, terutama tindakan keganasan dan kekuatan fizikal tidak berlaku di negara kita.

Baginda nampaknya mahu menekankan kestabilan negara dalam semua bidang berasaskan kepada contoh teladan pemimpin politik sehingga rakyat sendiri dapat menterjemahkan aliran ini dalam kalangan mereka.

Rakyat bersedia menerima hasil demokrasi dan permuafakatan pimpinan sendiri, seperti yang ditunjukkan dalam PRU-14. Oleh itu, baginda meneruskan titahnya “… pemimpin politik perlu membaca mesej rakyat secara tepat.’

Keadilan kepada rakyat

Politik yang sihat dan sejahtera, menurut baginda perlu kepada ramuan yang sihat dan saksama. Dalam hal ini, saya rasa baginda ingin juga kembali kepada dasar ajaran agama Islam sendiri mengenai pemerintahan berdasarkan keadilan rakyat yang sejati, hati nurani pemimpin dan pihak yang bertanggungjawab.

Ini juga membabitkan inspirasi yang berdasarkan nilai moral atau kerohanian yang baik dan utama serta beberapa faktor lain yang tidak harus diambil mudah pada masa kritikal, zaman dan era teknologi maklumat masa kini, terutama dalam suasana dan pemikiran generasi baharu.

Baginda memberikan panduan berharga kepada pimpinan dan rakyat mengenai isu politik yang berikut: “Kaedah memperoleh pengaruh melalui persaingan untuk menunjukkan siapa yang lebih Melayu, lebih Cina, lebih India, lebih Kadazan dan lebih Iban; begitu juga persaingan mendapatkan pengaruh untuk menunjukkan siapa yang lebih Islam, lebih Kristian, lebih Hindu atau lebih Buddha, ketara semakin tidak relevan.”

Baginda dengan itu bukan hanya mengingatkan pimpinan politik supaya memahami kehendak rakyat yang matang dan berilmu masa kini, malah bagi saya tertuju juga kepada pimpinan agama sendiri. Malah kepada pemimpin masyarakat dan negara seharusnya tidak menyalahgunakan kebolehan masing-masing untuk kepentingan diri, kroni dan pilih kasih yang tidak sihat.

Menimbulkan rasa perkauman dan keagamaan yang melampau, mengatasi kebenaran dan kesaksamaan yang dianjurkan budaya dan cara hidup negara kita, malah mencabar peruntukan Perlembagaan Persekutuan sendiri ialah racun kehidupan yang tidak harus dirumuskan, terutama untuk mendapatkan sokongan politik kepartian di dalam negara plural seperti negara kita ini.

Dalam konteks ini, baginda menawarkan ramuan hikmat yang amat mujarab dalam titah baginda seterusnya. “Di sebaliknya, rakyat lebih mengutamakan untuk menilai siapa yang lebih bersih, lebih amanah, lebih telus dan lebih cekap mengurus tadbir.”

Bersih, cekap, amanah

Inilah ramuan sebenar yang akan melariskan sokongan rakyat dalam memilih pemimpin mereka untuk mentadbir negara bertuah ini kerana warisan ini ialah warisan institusi negara dari segi perundangan, institusi Diraja dari segi pemerintahan berlandaskan nilai agama dan kerohanian, malah institusi masyarakat yang seharusnya bersih, cekap dan amanah.

Kesimpulan dari satu juzuk kecil sahaja daripada titah baginda di atas yang sempat saya perkatakan di sini, amat mencukupi untuk menambahkan seribu harapan dan panduan bagi kehidupan rakyat negara yang berpasakkan institusi raja berdaulat ini.

Penulis adalah bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) – BH ONLINE

Tags: pemimpinSultan Nazrin Shah
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Malaysia Negara Ke-7 Paling Dipercayai Dunia, Rakyat Yakin Kepada Pemimpin – Nga Kor Ming

Malaysia Negara Ke-7 Paling Dipercayai Dunia, Rakyat Yakin Kepada Pemimpin – Nga Kor Ming

22/05/2026
0

PUTRAJAYA – Malaysia kini berada di kedudukan ketujuh negara paling dipercayai di dunia berdasarkan laporan 2026 Edelman Trust Barometer. Menteri...

Kembalilah Ke ‘Rumah Bangsa’, UMNO Sedia Terima Pemimpin Bersatu Dipecat – Asyraf Wajdi

Kembalilah Ke ‘Rumah Bangsa’, UMNO Sedia Terima Pemimpin Bersatu Dipecat – Asyraf Wajdi

09/05/2026
0

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempelawa pimpinan dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd