PASIR MAS –Sebuah syarikat pemaju didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas selepas didapati salah melakukan penyambungan bekalan air secara haram di sini pada 12 Disember 2012.
Hakim Mohd. Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar hujah Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Shariful Azman Mustapa Yahya dan peguam bela, Ang Kai Whei.
Syarikat itu dituduh melakukan penyambungan bekalan air secara tidak sah di tapak Lot PT 634-PT 642, PT 649-PT 663 dan PT 668, Mukim Gua, Jajahan Pasir Mas.
Penyambungan bekalan air menggunakan tee off jenis paip poly bersaiz 25 mm di tapak premis itu merupakan satu kesalahan kerana dilakukan tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Selain itu, terdapat juga satu kepala paip plastik yang dipasang pada hujung jajaran paip untuk mengawal penggunaan bekalan air tersebut bagi kegunaan kerja-kerja pembinaan di tapak itu.
Syarikat pemaju itu dituduh di bawah peruntukan Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
SPAN dalam satu kenyataan media memohon kerjasama orang awam melaporkan kes seperti itu kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 03-8317 9333 atau e-mel ke [email protected]. – Mynewshub.tv
