KUALA LUMPUR – Seorang bekas pekerja kedai runcit menangis teresak-esak selepas dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompak menggunakan pistol mainan di sebuah kedai serbaneka, bulan lalu.
Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Ridznan Shah Desa, 30, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di KK Supermart, Bandar Manjalara, Kepong, di sini, pada 3.45 pagi, 26 Sept lalu.
Emelia memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 26 Sept dan sebelum menjatuhkan hukuman, Emelia menasihati tertuduh agar insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
“Saya harap ini adalah kali pertama dan terakhir kamu masuk penjara. Walaupun terdesak tidak cukup duit, banyak lagi kerja yang ada di negara kita ini, sedangkan warga asing yang datang ke Malaysia pun boleh kaya kerana mereka bekerja. Lain kali kalau nak buat kesalahan, tengok muka isteri dan anak kamu…kamu nak bagi mereka makan, adakah halal rezeki itu?,” kata Emelia.
Isterinya yang hadir bersama anak mereka di galeri awam kelihatan menangis sepanjang prosiding dan memeluk suaminya setelah kes selesai.
Ridznan Shah bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa telah melakukan rompakan bersenjata ke atas juruwang KK Supermart, Muhammad Sameer Md Aminul Islam, 30, menggunakan sepucuk pistol mainan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh mengambil kira faktor keselamatan dan kepentingan awam.
“Walaupun tiada sebarang kecederaan dan kehilangan barang, saya mohon mahkamah mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan serius,” katanya.
Bagaimanapun, Ridznan Shah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia merupakan penanggung utama keluarga selain isterinya kini sedang hamil.
“Saya menyesal atas perbuatan saya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya.
Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang bekerja telah didatangi tertuduh yang memakai topeng muka sebelum lelaki itu bertindak mengacukan pistol ke arah mangsa serta mengarahkannya membuka mesin laci wang.
Mangsa memberi alasan tidak dapat membuka laci wang dan ingin memanggil rakan sekerjanya di bahagian belakang kedai serta meminta tertuduh tunggu sebentar di kaunter dan tidak berapa lama kemudian berlaku pergelutan antara mangsa dan rakan sekerjanya dengan tertuduh sebelum tertuduh berjaya ditangkap oleh orang awam yang lalu di depan kedai tersebut. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..