SHAH ALAM – Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Proton Holdings Berhad (Proton) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mengoptimumkan perkongsian sumber dalam membangunkan pembekal bahagian dan komponen kenderaan Proton bagi mencapai standard global.
Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari berkata, kerjasama itu melibatkan pelbagai sumber daripada kedua-dua belah pihak untuk memaksimumkan penggunaan infrastruktur pembangunan automotif sedia ada.
Menurut beliau, perkongsian tersebut melibatkan bidang aplikasi rekaan termaju, simulasi proses digital dan teknologi pengesahan yang ditambah baik.
“Selain itu, para pembekal juga boleh mengoptimumkan pembangunan modal insan, perniagaan dan pembangunan teknologi menerusi lapan Program Kecemerlangan Pembekal MAI antaranya Sistem Pengeluaran Lean, Kejuruteraan Pensijilan Industri Automotif, Program Pengukuhan Keusahawanan Pengedar dan Program Transformasi Bengkel.
“Kesemua program tersebut kini sedia untuk dilaksanakan dan MAI serta Proton akan menyesuaikannya mengikut keperluan perniagan, teknologi dan rantaian bekalan syarikat,” katanya dalam majlis menandatangani MoU antara MAI dan Proton di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE