KUANTAN – Kebakaran Hutan Simpan Pekan yang berlaku sejak Sabtu lalu, berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Nor Hisham Mohammad.
Beliau berkata setakat pukul 3 petang tadi, tiada kejadian kebakaran berulang dilihat berlaku di kawasan itu.
“Kawasan yang terlibat kebakaran ialah seluas 161 hektar. Secara keseluruhan seramai 59 orang termasuk kakitangan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar Pahang terlibat dalam operasi ini.
“Kami juga dibantu oleh badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar Global Environment Centre, yang merupakan pihak pertama yang menyedari kebakaran berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Nor Hisham berkata pihaknya terpaksa menggunakan kaedah melimpahkan air daripada terusan balak ke kawasan hutan, memandangkan jentera tidak boleh digunakan ekoran keadaan bentuk bumi yang berpaya.
Sejak Ahad lepas, pasukan bomba dan penyelamat telah mula mencari jalan alternatif untuk menghampiri kawasan kejadian, yang memerlukan mereka berjalan kaki sejauh lima kilometer. – BERNAMA

