BANDAR PERMAISURI – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) hari ini memulakan projek penghutanan semula 33 spesies dipterokarpa (balak komersial) yang dikategorikan sebagai terancam dan kritikal sebagai usaha memuliharanya untuk generasi akan datang.
Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata buat permulaan, 330 pokok daripada 33 spesis itu ditanam di kawasan seluas 0.4 hektar di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Setiu, Bari.
“Ini akan menjadikan SPF Setiu pusat rujukan penyelidikan berkaitan balak komersial terulung di negara ini pada masa depan,” katanya kepada pemberita.
Antara spesis yang ditanam hari ini ialah pokok yang juga menjadi nama beberapa tempat yang terdapat di Malaysia seperti pokok chengal, keruing neram, keladan serta meranti batu dan meranti rambai daun.
Aktiviti menanam pokok itu melibatkan lebih 100 peserta terdiri daripada kakitangan FRIM dan wakil komuniti setempat termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, penduduk kampung dan kakitangan jabatan kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, beliau berkata Terengganu mempunyai lebih 200 spesies pokok balak, pokok hutan dan pokok herba yang baru ditemui dan masih belum dinamakan lagi setakat ini.
“Pemilihan projek penghutanan semula di SPF Setiu ini adalah sebagai penghargaan FRIM terhadap Terengganu yang mempunyai kekayaan sumber khazanah hutan yang tidak ternilai dan masih belum diterokai sepenuhnya. – BERNAMA

