SHAH ALAM – Seorang buruh binaan warga Indonesia terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskannya daripada pertuduhan membunuh rakan sekerjanya pada Mei tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.
Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zalita Zaidan membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas berpuas hati prima facie gagal dibuktikan terhadap Suri, 41.
“Kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi material telah menyebabkan subjudis kepada tertuduh. Justeru mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.
Suri didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas membunuh warga Bangladesh, Mohamad Ali Ashraf, 28, di tapak Pembinaan Depo Bas Rapid KL, Jalan Perusahaan 2, Kawasan Perindustrian Batu Caves, Gombak dekat sini, kira-kira 11.45 pagi pada 11 Mei tahun lepas.
Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati punca kematiannya disebabkan luka tikaman di bahagian belakang badan.
Sepuluh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Sept lepas.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Devinderjit Kaur Gill sementara Suri diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..

