JOHOR BAHRU – Parlimen Belia Malaysia (PBM) akan kembali bersidang selepas beberapa bulan tertangguh bagi meneruskan kesinambungan barisan pelapis kepimpinan muda kini dan akan datang, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh audit yang dilaksanakan oleh beberapa pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia serta wakil Kementerian Belia dan Sukan.
“Laporan penuh berhubung parlimen itu dijangka diterima pada minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog Townhall Malaysia Baharu: Aspirasi dan Harapan Anak Muda di Stadium Tertutup Pasir Gudang di sini hari ini.
Syed Saddiq turut berkata terdapat rungutan negatif dalam kalangan anggota parlimen belia sebelum ini dan pihaknya mengambil serius rungutan tersebut dan usaha penambahbaikan perlu dilakukan sebelum PBM diteruskan.
“Kalau tanya diri saya, umur 18 tahun, saya nak golongan ini berada di parlimen Malaysia. Saya nak pastikan Parlimen Belia ini distrukturkan semula untuk memberi tempat latihan belia yang betul-betul muda,” katanya lagi. – BERNAMA