PORT DICKSON – Masalah kekurangan pengurus jenazah wanita berkebolehan mendorong jawatankuasa Surau Al Hijrah, Bandar Springhill, di sini, menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah Muslimat di surau itu, hari ini.
Penyelaras kursus, Abdul Fatah Zakaria, berkata seramai 63 peserta mengikuti kursus itu yang mendapat kerjasama Masjid Bandar Springhill dan Pertubuhan Khairat Kematian Penduduk Islam Bandar Springhill.
“Kita sering menghadapi masalah untuk menguruskan jenazah wanita apabila berlaku kematian di kawasan ini kerana tidak ramai penduduk tempatan yang berkebolehan melakukan tugas itu.
“Selalunya kita terpaksa memanggil pengurus jenazah dari luar kariah. Jadi, dengan penganjuran kursus ini, kita melahirkan ramai pengurus jenazah wanita dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau yang juga Imam satu Surau Al Hijrah berkata, kursus yang bermula dari jam 8 pagi hingga jam 1 petang itu menyasarkan jemaah wanita yang tidak bekerja atau suri rumah.
Katanya, peserta diajar teori pengurusan jenazah selain latihan praktikal bagi memudahkan pembelajaran.
“Mengurus jenazah memerlukan seseorang yang kuat semangat dan bersifat amanah kerana mereka bertanggungjawab bermula dari proses memandikan jenazah sehingga kafan sebelum disembahyangkan.
“Kita berpuas hati kursus kali pertama ini dihadiri seramai 63 jemaah, melangkaui jangkaan awal iaitu hanya 30 orang,” katanya. – BH Online

