KUCHING – Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama Rakan Penyampai Projek (PDP) iaitu Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) mengadakan Jelajah Lebuhraya Pan Borneo bermula hari ini sehingga 1 Oktober ini bagi pantau perkembangan terkini pembinaan lebuh raya Pan Borneo.
Jelajah Pan Borneo yang bermula dari Telok Melano sehingga ke Miri disertai oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob serta 100 orang termasuk pengamal media tempatan, demikian menurut kenyataan kementerian itu di sini hari ini.
Setakat ini, pembinaan jalan di Telok Melano-Sematan sepanjang 33 km itu tertumpu kepada kerja-kerja meletakkan asphalt serta kerja-kerja tanah.
Pakej itu (Pakej Kerja 01) turut merangkumi pembinaan enam jambatan iaitu di Sungai Siru, Kerambai, Pueh, Sungai Belinsah, Sungai Beduan dan Sungai Samunsam di mana pemasangan pagar hunian, papan tanda, tiang lampu jalan dan kabel, yang bermula dari jalan Sematan-Lundu ke arah bulatan pertama Telok Melano, giat dijalankan.
Selepas lawatan ke Telok Melano, Jelajah Pan Borneo akan diteruskan ke laluan Sematan-Sungai Moyan yang bakal menyaksikan pembinaan pertukaran ‘Interchanges’ antara Lundu dan Bau yang mempunyai empat persimpangan di jalan Batu 4½, Batu 6 dan Batu 7 (Pakej Kerja 02).
Pembinaan laluan Sematan-Sungai Moyan yang sepanjang 95km itu adalah pembinaan yang terpanjang di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, yang mempunyai 50 P-Turn dengan 24 di Bahagian Lundu dan 26 di Bahagian Bau, 93 tempat hentian bas dan sejumlah 22 jambatan.
Kontraktor utama untuk kedua-dua pakej laluan Telok Melano-Sematan dan Sematan-Sungai Moyan ialah Samling Resources Sdn Bhd. – BERNAMA

