CALON pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Tan Chee Teong hadir menunaikan tanggungjawab di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Batu 11, Cheras pukul 7.30 pagi ini.
Wakil MCA itu antara pengundi berdaftar di kawasan tersebut tiba bersama-sama isteri, Connie Chin, 38, yang turut mengundi di pusat mengundi sama serta dua anak perempuannya, Tan Jin Suen, 11, dan Tan Jin En, 4.
Turut hadir ialah ibu dan bapanya, Tan Kim Huat, 66, dan Lee Saw Wan, 62. Ahli perniagaan itu bagaimanapun memberitahu beliau hanya akan mengundi pada jam 9 pagi selepas meninjau keadaan kawasan tersebut.
Pusat pengundian di SJKC Batu 11 itu antara 16 pusat mengundi yang dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 62,188 pemilih berdaftar biasa menunaikan tanggungjawab mereka.
Cuaca yang baik dan cerah pagi ini memudahkan pengundi untuk keluar awal.
PRK yang kedua dibuat serentak dengan DUN Seri Setia selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Chee Teong dan calon Pakatan Harapan, Wong Siew Ki daripada DAP.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas menyaksikan persaingan dua penjuru antara calon Tan dan Wong.
Ketika PRU ke-14 pada 9 Mei lalu, mendiang menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) DUN Balakong mempunyai keseluruhan 62,219 pengundi berdaftar. – Agensi/Mynewshub.TV

