KUALA LUMPUR – Kurang dua minggu lagi negara bakal menyambut Hari Kebangsaan yang ke-61, namun semangat meraikan hari penuh bermakna itu begitu kurang dirasai.
Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota mendapati meskipun ada bangunan kerajaan dan swasta yang sudah mula mengibarkan bendera, aura sambutan tersebut masih terasa suram, manakala untuk melihat Jalur Gemilang pada kenderaan di jalan raya pun susah.
Justeru, persoalan mengapa semangat rakyat untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan negara dengan tema ‘Sayangku Malaysiaku’ seolah-olah sangat kurang bermain dalam fikiran.
Seorang peniaga, Nur Shadatul Shima Zahrom, 32, berkata isunya bukan kerana kurang semangat tetapi kesukaran mendapatkan Jalur Gemilang dan kos yang perlu didepani memaksa ramai tidak dapat mempamerkan rasa cinta pada negara itu.
“Saya mahu cari bendera pun susah sebab kebanyakan kedai runcit tidak menjualnya lagi dan kalau mahu beli kami terpaksa ke pasar raya yang agak jauh,” ujarnya.
Seorang penjawat awam, Haslina Hasan, 30, pula berpendapat sambutan tahun ini sepatutnya diraikan dengan lebih meriah kerana kali pertama sambutannya di bawah kepimpinan kerajaan baharu.
“Saya rasa tema kemerdekaan kali ini, ‘Sayangi Malaysiaku’ sangat bertepatan dengan semangat pasca Pilihan Raya Umum (PRU) kita baru-baru ini, yang menyaksikan kebangkitan rakyat mengundi dan menggunakan kuasa mereka untuk memilih kerajaan yang berwibawa.
“Semua ini dilakukan atas dasar cinta kepada negara dan pengharapan untuk masa depan negara yang lebih baik. Sayangi negara juga sesuai dengan semangat kemerdekaan kerana dengan rasa sayang kita akan melindungi,” katanya.
Kesuraman semangat orang awam membeli Jalur Gemilang turut diakui Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin yang berkata setakat 13 Ogos lepas, hanya kira-kira 300,000 unit bendera terjual.
“Angka ini masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan jumlah rakyat Malaysia seramai lebih 30 juta penduduk ini. Oleh itu, kami mengajak semua rakyat Malaysia untuk melahirkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja. Semaikan semangat ‘Satu Rakyat Satu Bendera’,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Di ibu negara, bagi membangkitkan roh kemerdekaan dalam kalangan rakyat, bermula awal Ogos, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil insiatif mengedar 37,000 Jalur Gemilang kepada pelbagai jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), sekolah serta persatuan sebagai manifestasi kecintaan rakyat kepada negara.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata pengibaran Jalur Gemilang sudah mula dilakukan DBKL dengan memasang bendera di seluruh Kuala Lumpur dan jalan-jalan utama Dataran Merdeka dan bangunan DBKL.
“Selain mengibar Jalur Gemilang, paparan mesej Hari Kebangsaan dan lampu LED turut dipasang di jalan-jalan utama bagi menghiasi dan menerangi ibu kota manakala pelbagai persembahan dirancang diadakan di Dataran Merdeka pada malam sambutan 30 Ogos nanti,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini. – BERNAMA

