KUALA LUMPUR – Ramai murid didakwa sudah tidak lagi memakai lencana besi Jalur Gemilang yang diberikan sebelum ini kerana rosak, hilang atau atas kehendak ibu bapa sendiri.
Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, sebahagian ibu bapa turut mengambil inisiatif menggantikan lencana besi dengan lencana kain yang dijahit pada pakaian sekolah anak masing-masing.
“Setahu saya ramai murid yang sudah tidak lagi memakai lencana besi yang diberikan. Ada yang rosak, hilang atau atas kemahuan ibu bapa sendiri.
“Mengapa dari awal kementerian tidak gunakan lencana kain? Bukan sahaja lencana kain lebih murah dan tidak mudah tercicir, ia juga lebih selamat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau menyifatkan program pemakaian lencana besi yang menelan belanja RM8.4 juta sebelum ini sebagai keputusan tidak bijak berdasarkan pandangan masyarakat.
Menurutnya, semangat patriotisme sepatutnya dipupuk menerusi pembudayaan nilai kenegaraan secara berterusan dan bukannya sekadar program bermusim.
Katanya, murid perlu terlebih dahulu memahami maksud patriotisme dalam konteks Malaysia, termasuk sebab mereka perlu menyayangi negara.
Beliau mencadangkan amalan seperti menyanyikan lagu Negaraku dan membaca Rukun Negara dijadikan rutin ketika perhimpunan sekolah tanpa membebankan murid atau melibatkan kos tambahan.
Pada masa sama, Anuar mempersoalkan sama ada pemakaian lencana besi Jalur Gemilang turut diwajibkan di sekolah swasta, sekolah agama, sekolah persendirian dan sekolah antarabangsa.
“Jika tidak, apakah kita sedang amalkan patriotisme bersasar yang sifatnya ‘berpilih’? M Atau kita sedang membina patriotisme baharu yang bersifat eksklusif dan tidak lagi inklusif?” soalnya.
Beliau menegaskan usaha membina patriotisme sepatutnya melibatkan seluruh warganegara tanpa pengecualian.
“Idea bernas, kaedahnya juga kena cergas,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Anuar Ahmad



