KOTA KINABALU – Perkongsian pengalaman wanita yang menempuh pelbagai cabaran sebelum melakar kejayaan untuk dikongsikan kepada wanita lain mampu memberi motivasi dalam usaha memartabatkan kaum hawa agar terus berwibawa.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Stephen Wong Tien Fatt berkata melalui perkongsian itu pelbagai ilmu dan maklumat dapat disampaikan sebagai panduan khususnya dalam usaha mencapai dasar 30 peratus wanita terlibat dalam peringkat pembuat keputusan akan tercapai.
“Saya yakin para pembentang dalam persidangan ini sudah melalui pelbagai pengalaman, suka duka, pahit getir dalam mencapai cita-cita mereka untuk menjadi wanita berwibawa.
“Semangat mereka kental kerana jika kita berhasrat sesuatu, kita pasti akan beroleh cara untuk mendapatkannya sekali gus mengamalkan sikap hendak seribu daya tak hendak seribu dalih,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Wanita Berwibawa, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Kesihatan dan kesejahteraan Rakyat Sabah Norazlina Arif.
Wong berkata melalui persidangan itu diharap akan dapat menjadi wadah pencetus kesedaran dalam kalangan wanita supaya sentiasa merebut pelbagai peluang demi untuk menambah ilmu pengetahuan selain memperkasakan diri dalam dunia serba mencabar ini.
“Dunia masa kini menyaksikan peranan ilmu dan maklumat yang menjadi sumber kuasa hampir dalam semua hal. Bangsa yang menguasai ilmu dan maklumat akan lebih mendahului bangsa yang lain,” katanya.
Persidangan tahunan yang bertemakan “Memperkasa Wanita” anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah bertujuan berkongsi pendapat dan pandangan daripada tokoh-tokoh wanita dinamik yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing.
Seramai 350 peserta menyertai persidangan sehari itu. – BERNAMA