MELAKA – Penjawat awam di negeri ini diminta menerap dan mengamalkan nilai murni termasuk sayang serta taat kepada negara dan kerajaan hari ini kerana ia menentukan kejayaan atau kejatuhan sesebuah negara.
Ketua Menteri Adly Zahari berkata nilai penerimaan, hormat menghormati dan memahami satu sama lain dalam kalangan penjawat awam penting sebagai benteng kukuh bagi meneruskan pencapaian yang jauh lebih baik daripada apa yang sudah dinikmati selama ini.
“Saya menyeru penjawat awam agar bersama kerajaan memerdekakan minda, bersatu padu, bermuafakat, toleransi, sayang dan taat kepada negara dan kerajaan yang memerintah untuk mencapai lebih banyak kejayaan yang lebih baik.
“Kerajaan Negeri mengharapkan penjawat awam terus menyokong kita bagi pelaksanaan 20 janji dalam manifesto Pakatan Harapan dan merealisasikan 85 inisiatif meliputi pelbagai aspek kehidupan dalam tempoh lima tahun ini,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri anjuran Jabatan Penjara Melaka dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang yang turut dihadiri Pengarahnya Komisioner Penjara Abdul Aziz Mohamad.
Mengulas lanjut, Adly berkata penjawat awam diharap sentiasa menjaga integriti dan menjauhkan diri daripada terlibat dalam sebarang kegiatan atau perbuatan yang boleh mencemar imej perkhidmatan awam, menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Beliau berkata ikrar dan aku janji yang telah ditandatangani perlu dipatuhi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif terhadap kerajaan.
Sementara itu, rakyat di negeri ini diingatkan agar memperbaharui semangat patrotisme dan cintakan negara khususnya menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara pada setiap bulan Ogos.
Beliau berkata kemerdekaan dan kedaulatan yang kita kecapi hari ini amat bernilai dan wajib dipertahankan selagi nyawa dikandung badan.
“Kita seharusnya bersyukur kerana perjuangan dan bapa kemerdekaan negara telah membolehkan rakyat menikmati kebebasan menentukan apa yang terbaik untuk diri, berhak menentukan corak pemerintahan negara melalui suara demokrasi, bolah berdagang dengan sesiapa sahaja, bebas mengagihkan kekayaan serta menentukan wawasan bangsa mengikut acuan sendiri,” katanya. – BERNAMA

