ALOR SETAR – Sekali pandang ia tidak ubah seperti ‘reban ayam’. Namun, siapa sangka ‘reban ayam’ itulah pondok tempat berteduh daripada hujan dan panas setiap hari bagi 26 ahli keluarga Ishak Darus, 75, di Lorong Gedebang di sini.
Ishak ketika ditemui Bernama di rumahnya berkata, selain isterinya, 10 anak, empat menantu dan 10 orang cucunya juga tinggal bersamanya di pondok usang itu kerana mereka juga tidak mampu menyewa di tempat lain akibat kemiskinan.
Kata Ishak, kerana itulah mereka sanggup berhimpit di pondok yang bersaiz ‘reban ayam’ dan menunggu masa untuk roboh itu.
Tinjauan mendapati keadaan rumah Ishak cukup daif dengan lantainya hanya beralaskan tikar getah manakala pakaian terpakai sumbangan orang ramai sebelum ini terlihat bertimbun di dalam rumah.
Keseluruhan dinding kayunya juga sudah reput dimakan anai-anai, selain sebahagian bumbung zinknya dari hadapan hingga ke belakang juga berkarat dan berlubang.
Ishak berkata kerana terlalu uzur beliau tidak dapat membantu keluarga untuk menambah pendapatan dan hanya bergantung kepada anak-anaknya yang bekerja di kedai- kedai makan dengan upah yang tidak seberapa.
“Saya cuba baiki rumah ini dengan anak-anak yang dah bekerja supaya dapat hidup lebih selesa tetapi kami tidak dapat melakukannya kerana masing-masing kerja hanya ‘cukup makan’ bagi menampung perbelanjaan dan persekolahan anak-anak mereka.
“Apa yang boleh saya harapkan supaya ada pihak sudi membaiki rumah kami yang uzur ini, kerana untuk membina (rumah) baharu agak sukar kerana perlu mendapat persetujuan tuan tanah dulu,” katanya di sini, hari ini.
Ishak berkata sebelum ini beliau pernah memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban keluarga, namun ditolak atas alasan mempunyai anak yang sudah bekerja.
Sementara itu, nasib Ishak mendapat perhatian Anggota Parlimen Pokok Sena, yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, yang menghantar pegawai khasnya, Zulkifli Ismail, untuk melawat keluarga Ishak di rumah mereka dan menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan makanan dan wang tunai.
Zulkifli berkata kerajaan akan sedaya upaya membantu Ishak dan keluarga sama ada dengan menempatkan mereka di rumah kerajaan di Flat Seri Gemilang atau membina rumah baharu untuk beliau dengan persetujuan tuan tanah.
“Banyak agensi yang nak membantu tetapi saya minta beliau berbincang dengan tuan tanah, jika dizinkan, kita akan bina rumah baharu melalui agensi kerajaan yang ada supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa seperti orang lain,” katanya.
Sesiapa yang ingin membantu Ishak boleh menghubungi anaknya di talian 017-4315934 (Siti Hajar Ishak) atau menyumbang melalui akaun Bank Simpanan Nasional anaknya yang lain, Siti Nor Saadiahton Ishak 02122-41-00006878-8. – BERNAMA

