PERLAWANAN akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang sepatutnya menjadi arena kebangkitan semula Liverpool dalam bola sepak Eropah berakhir dengan kekecewaan.
Bukan sahaja gagal menewaskan gergasi Sepanyol, Real Madrid, mereka juga kehilangan penyerang berbisa mereka, Mohamed Salah di kala perlawanan baru berlangsung selama 31 minit.
Kecederaan itu juga menyebabkan peluang Salah beraksi di pentas terbesar bola sepak, Piala Dunia yang akan berlangsung di Rusia bulan depan kini samar-samar.
Salah terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan bahu selepas dikasari pemain pertahanan Real, Sergio Ramos di mana insiden itu menyaksikan pemain Mesir itu meninggalkan padang sambil menangis kekecewaan.
Ketiadaan Salah menyaksikan Real memenangi perlawanan tersebut 3-1 dengan Gareth Bale muncul wira buat Real dengan menjaringkan dua gol walaupun memulakan perlawanan di bangku simpanan.
Sejurus perlawanan berakhir, jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp yang ditemui pihak media mengesahkan bahawa Salah mengalami kecederaan serius dan berkemungkinan terpaksa melupakan aksi Piala Dunia.
“Ia satu kecederaan serius, kecederaan yang benar-benar serius. Dia berada di hospital menjalani X-Ray. Ia mungkin membabitkan tulang selangka atau bahu. Ia tidak kelihatan bagus.
“Kami kehilangan pemain yang amat penting, begitu juga Mesir yang kehilangan pemain penting untuk Piala Dunia. Saya masih berharap ia tidak berlaku sedemikian,” ujar Klopp.
Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Mesir menerusi satu kenyataan di Twitter, memberitahu bahawa Salah mengalami kesakitan ligamen bahu namun optimis ayam tambatan mereka itu akan kembali cergas menjelang Piala Dunia.
تحديث | أفاد الدكتور محمد أبو العلا طبيب المنتخب أن الجهاز الطبي بنادي ليفربول قد ابلغوه بعد إجراء الآشعة على كتف صلاح وأفادت نتيجتها بأن اللاعب أصيب بجزع في أربطة مفصل الكتف وأضاف انه وفقا لهذا التشخيص عن تفاؤله بأن يلحق صلاح بالمنتخب الوطني في كأس العالم 🇪🇬💪🏽@MoSalah
— Egypt National Football Team (@Pharaohs) May 26, 2018
Tambah mereka, doktor pasukan itu, Dr. Mohammed Abu Ola telah berbincang dengan kakitangan perubatan Liverpool dan mendapati Salah masih berpeluang mengemudi Mesir di Rusia, bulan depan.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Mesri, Khaled Abd El-aziz turut tampil mengeluarkan kenyataan bahawa Salah akan menyertai latihan persiapan Mesir untuk ke Piala Dunia di Itali.
“Salah dijangka memerlukan dua minggu untuk rawatan. Dia akan terus berada di Liverpool dan menjalani pemulihan sebelum menyertai pasukan Mesir di Itali,” tulisnya.
Tambahnya, Salah juga akan berada dalam skuad terakhir 23 pemain Mesir ke Piala Dunia yang akan diumumkan pada 4 Jun ini.
Salah, yang menjaringkan 44 gol dalam semua kejohanan untuk Liverpool musim ini, menjadi antara pemain yang akan memberi impak yang besar dalam kejohanan di Rusia nanti.
Antara sebab lain Salah tidak boleh terlepas aksi di Piala Dunia tentunya kerana edisi kali ini merupakan kali pertama Mesir layak ke kejohanan itu sejak 1990. Mesir akan menentang tuan rumah, Rusia, Uruguay dan Arab Saudi dalam Kumpulan A. – MYNEWSHUB.CC/EZ