KUALA LUMPUR – Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dakwaan beliau bertukar sokongan daripada Liverpool kepada Arsenal selepas gambarnya memakai jersi kelab London itu tular di media sosial.
Menurut beliau, status sebagai penyokong setia Liverpool tidak pernah berubah meskipun dilihat mengenakan jersi Arsenal selepas perlawanan Liga Juara-Juara Eropah baru-baru ini.
“Saya support Arsenal ke sekarang? Eh, takkk. Masih fan Liverpool,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Tengku Zafrul menjelaskan beliau sebenarnya menyokong Paris Saint-Germain (PSG) untuk satu malam sahaja ketika aksi menentang Arsenal.
Katanya, pemakaian jersi Arsenal itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang dibuat bersama Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Iman Haziq sebelum perlawanan berlangsung.
“Saya dan Iman Haziq dah buat ‘deal’ awal-awal. Siapa kalah kena pakai jersi team lawan. Iman of course kena pakai jersi PSG sebab Arsenal kalah,” katanya.
Beliau berkata, selepas melihat kekecewaan penyokong Arsenal termasuk Iman Haziq, beliau turut memakai jersi Arsenal sebagai tanda semangat kesukanan.
“Itu sahaja ceritanya. Kadang-kadang jersi bola pun boleh jadi isu politik,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Tengku Zafrul


