PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 3 atau Laluan MRT Lingkaran tidak akan diteruskan.
Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira implakasi sistemik ke atas sistem kewangan dan kesan jangka panjang ke atas ekonomi negara.
“Sekiranya negara mahu mengelak daripada bankrap, kita perlu belajar bagaimana untuk menguruskan hutang kita yang besar.
“Di mana salah satu caranya adalah menghentikan projek-projek yang tidak memberi manfaat kepada kita,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata banyak masalah ditemui dalam pentadbiran kerajaan terdahulu terutama yang berkait dengan pembaziran.
“Menteri sudah jumpa banyak masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan dahulu.
Jadi kita mesti tentukan kedudukan kewangan diurus dengan berhati-hati supaya kita mampu urus kos pentadbiran,” kata beliau seperti yang dipetik Harian Metro selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

MRT laluan 3 merupakan salah satu daripada tiga laluan tren yang dirancang di bawah Projek Mass Rapid Transit Lembah Klang oleh MRT Corp.
Dirancang kerajaaan terdahulu untuk menjadi laluan rel transit ke-13, menggunakan sistem automatik sepenuhnya yang kelima dan sistem rel tanpa pemandu di Lembah Klang.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018 mengumumkan projek MRT Laluan 3 bakal disiapkan sebelum 2025, iaitu dua tahun lebih awal daripada jadual sasaran.
Dalam pada itu, Mahathir juga memberitahu Program Permata yang sebelum ini diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan dipindahkan ke Kementerian Pendidikan. – MYNEWSHUB.CC

