SEBANYAK 1,300 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Eropah, Jepun, Indonesia dan Singapura menyertai Janamanjung Fellowship Ride 2018 (JMFR) edisi ke-11 dengan kayuhan sejauh 147 kilometer baru-baru ini.
Berbasikal Anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama anak syarikat milik penuhnya, TNB Janamanjung Sdn. Bhd. telah meletakkan daerah Manjung dan Lumut dalam peta pelancongan sukan antarabangsa khususnya berbasikal jarak jauh.
Bermula di Taman Awam Batik, Lumut, peserta dilepaskan seterusnya melalui kawasan-kawasan di Perak antaranya Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung, kawasan sekitar Seri Manjung, Pasir Salak dan Ayer Tawar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir hadir menyempurnakan pelepasan peserta sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman; Naib Presiden (Penjanaan) TNB, Datuk Zainudin Ibrahim dan Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Datuk Shamsul Ahmad.

Menurut Zambry, jelajah berbasikal itu secara tidak langsung mempromosikan industri pelancongan di negeri Perak khususnya daerah Lumut dan Manjung, lapor Harian Metro.
“Dengan adanya program seperti ini, ia dapat merancakkan lagi keadaan dan kedudukan Lumut khususnya dan Manjung amnya sebagai destinasi pelancongan yang berasaskan kepada sukan serta alam semula jadi.
“Untuk pengetahuan semua, Perak buat lima tahun berturut-turut mempunyai bilangan kehadiran pelancong dalam negara yang tertinggi di Malaysia dan program sebegini menyemarakkan lagi pelancong dari luar Perak mengunjungi serta bermalam di sini,” katanya.

Penyertaan peserta berskala besar juga memberi kesan positif kepada ekonomi setempat, sekali gus mempromosikan Perak yang kaya dengan pelbagai budaya, makanan, hasil kraftangan menarik dan sebagainya.
Lebih 60 gerai pameran disediakan untuk pengunjung seperti gerai promosi Aplikasi MyTNB dan jelajah pasukan hoki TNB Thunderbolts serta pelbagai gerai jualan produk tempatan berasaskan kraftangan dan makanan laut. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

