IPOH – Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming mendakwa tsunami rakyat gelombang merah akan bermula di bumi bertuah Perak Darul Ridzuan.
Menurutnya, beliau percaya Perak bukan Johor dan Negeri Sembilan sebaliknya Perak adalah sebuah negeri yang meraikan kepelbagaian.
“Kita meraikan perpaduan kita dan kita akan berdiri sebagai satu keluarga besar yang saling mengambil berat bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH),” dakwanya menerusi satu rakaman video ucapan yang tular di media sosial.
Terdahulu, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, negara memerlukan politik yang membina, bukan politik yang membinasa.
Menurutnya, Malaysia pada abad ke-21 menolak politik perkauman kerana setiap rakyatnya yang berbeza kaum dan agama adalah anak Malaysia.
Dakwa beliau, terdapat politikus yang datang ketika pilihan raya untuk memainkan sentimen perkauman sedangkan kerajaan bekerja keras sepanjang tempoh lima tahun bagi melaksanakan pelbagai pembaharuan dan menjaga kepentingan rakyat.
“Ada politikus sebelah sana datang sini main sentimen. Tak payah kerja. Kita kerja mati-matian lima tahun, jaga itu, buat ini, buat reform.
“Tapi bila sampai pilihan raya, ada politikus datang main sentimen, ‘Aku Cina, aku Melayu, aku India’, inilah, itulah. Semua kerja baik masuk longkang.
“Ini akan memberikan mesej yang sangat berbahaya. Ia bermakna pada masa depan semua parti politik di negara ini tidak perlu bekerja, tidak perlu berbakti dan tidak perlu berkhidmat.
“Bila sampai musim pilihan raya, kemudian datang main sentimen. Kita tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya.
Beliau berkata, politik abad ke-21 sepatutnya menjadi persaingan untuk menentukan pihak yang mempunyai dasar lebih baik, memberikan khidmat lebih baik dan mampu menunjukkan rekod prestasi kepada rakyat.
“Bukan hanya main sentimen dan persepsi.
“Tuan-tuan dan puan-puan, saya cuma merayu kepada semua, jangan biarkan prestasi kalah kepada persepsi,” katanya. – MYNEWSHUB


