KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa stesen televisyen TV3 mempunyai tanggungjawab untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai terutama berita yang membabitkan isu kepentingan awam dan keselamatan negara seperti pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Peguam Liew Teck Huat, yang mewakili stesen televisyen itu berhujah adalah menjadi kebiasaan bagi sesebuah organisasi media untuk melaporkan berita yang mempunyai kepentingan awam kepada umum.
“Dalam kes ini, TV3 memainkan peranannya dengan menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu berdasarkan laporan berita yang turut diterbitkan oleh akhbar Utusan Malaysia,” katanya sambil menambah kata media bukanlah sebuah agensi penyiasatan tetapi ia bertanggungjawab untuk menyalurkan sumber berita kepada masyarakat.
Liew berkata demikian ketika berhujah dalam kes saman difailkan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap TV3 berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu.
Peguam Datuk S. Ambiga yang mewakili Anwar pula berhujah TV3 tidak menjalankan kewartawanan bertanggungjawab apabila menyiarkan berita yang mengaitkan bekas ketua pembangkang itu dengan tragedi pencerobohan di Lahad Datu.
“Stesen televisyen itu juga gagal membuat sebarang pengesahan dengan Anwar sebelum berita tersebut disiarkan di Buletin Utama pada 2 Mac 2013,” jelasnya.
Peguam itu berhujah berita berkenaan adalah tidak benar dan ia merupakan berita palsu kerana Utusan Melayu (M) Berhad, yang sebelum ini merupakan defendan dalam kes saman berkenaan telah mengaku bahawa dua artikel diterbitkan oleh akhbarnya yang mengaitkan bekas ketua pembangkang dengan pencerobohan di Lahad Datu itu, adalah tidak berasas.
Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan 14 Mei untuk keputusan kes saman berkenaan.
Pada 8 Mac 2013, Anwar selaku plaintif memfailkan saman terhadap Utusan Melayu; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak; TV3; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd Datuk Shaharudin Abd Latif dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa Utusan Melayu menyiarkan artikel di muka hadapannya bertajuk ‘Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?’ dan artikel di muka surat sembilan bertajuk ‘Tiga kumpulan menjadi dalang’ bertarikh 2 Mac 2013.
Bekas anggota Parlimen Permatang Pauh itu juga mendakwa TV3, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan oleh Utusan Melayu.
Pada 5 Oktober 2016, Anwar berjaya menyelesaikan kes saman itu terhadap Utusan Melayu dan Ketua Pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu. – BERNAMA

