KUALA LUMPUR : Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 yang mengangkat single Terus Hidup ciptaan dan dendangan Aina Abdul sebagai Juara Lagu, Ahad lalu, merekodkan 5.4 juta penonton.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kenyataan TV3 menyebut, AJL 37 bertemakan Dimensi Muzik yang disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, menunjukkan capaian platform digital memberangsangkan iaitu pada kadar 1.75 bilion.
“Kemenangan Aina yang mengungguli dua trofi iaitu Juara Lagu dan Vokal Terbaik melalui lagu Terus Hidup menawan hati 5.4 juta penonton, sekaligus menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.
“Capaian platform digital juga amat memberangsangkan dengan jumlah 1.75 bilion.
“Peningkatan peratusan ini turut dikaitkan dengan persembahan unik ‘Dimensi Muzik’ daripada finalis seperti Shiha Zikir, Naim Daniel, Noki dan MK K-Clique serta Alif Satar & The Locos yang membuatkan penonton terkesima,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.
Pada AJL 37, Aina yang membolot trofi Juara Lagu dan Vokal Terbaik, membawa hadiah wang tunai keseluruhan RM112,000.
Naib juara AJL 37 menjadi milik lagu Satu Malam Di Temasek nyanyian SonaOne dan Joe Flizzow menerusi karya ciptaan SonaOne dengan lirik dihasilkan SonaOne dan Joe Flizzow. Mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.
Menduduki tempat ketiga adalah lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos menerusi lagu ciptaan Alif Satar, Romeo, Tam Cobain, Arwis dan lirik oleh Alif, Shah Shamshiri dan Romeo.
TV3 menyebut segmen pembukaan AJL 37 yang hangat dengan persembahan gabungan tiga genre muzik iaitu rock, etnik kreatif dan hip hop turut menambah statistik tontonan.
Pada segmen itu, penyanyi Lan Typewriter mendendangkan Lagu Untukmu; De Fam dan Wany Hasrita (7 Nasihat); Kaka Azraff (Nuri); Tuju, Loca B, Syamel dan Waris (Mentera Semerah Padi dan Mantera Beradu)
“Sementara menunggu keputusan mendebarkan, penonton dihiburkan dengan penampilan istimewa Blues Gang dan Exists yang mendendangkan lagu malar segar Khatulistiwa, Apo Nak Di Kato dan Langkah Seiringan.
“Selain itu, Kugiran Masdo mendendangkan lagu popular mereka iaitu Teruna & Dara dan Bunga,” katanya.
TV3 dalam kenyataan menambah, lebih 8,000 peminat membanjiri Axiata Arena seawal jam 3 petang, Ahad lalu, tanpa menghiraukan hujan.
Peminat menyokong dan memeriahkan AJL 37 selepas acara berprestij itu tidak dibuka kepada orang ramai sejak tiga tahun lalu berikutan pandemik COVID-19.
“Tahniah dan terima kasih kepada lebih 8,000 penonton di Axiata Arena terutama kelab peminat yang memberi sokongan padu melalui pembelian tiket AJL 37.
“Tiket AJL 37 ditawarkan di laman web rasmi dan aplikasi Tonton pada harga antara RM50 hingga RM300 bagi kategori Super VVIP.
“Peminat mula membanjiri lokasi sejak jam 3 petang untuk menyertai aktiviti yang disediakan penaja utama, Alha Alfa Cosmetics,” kata kenyataan itu.
Selain Alha Alfa sebagai penaja utama, AJL 37 dikuasai Samsung Galaxy S23 Series dan MYTV sebagai rakan penaja.
AJL 37 turut menampilkan Tonton sebagai platform penstriman eksklusif; Hot FM (Rakan Radio) serta Oh Bulan, Seismik dan Xtra (Rakan Digital).
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini program TV3, jangan lupa ikuti laman media sosial rasmi Facebook (FB), Instagram (IG) dan Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.
BHonline-

