Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Dunia kewartawanan negara kehilangan seorang tokoh berpengaruh apabila wartawan penyiaran tersohor, Datuk Karam Singh Walia dilaporkan meninggal dunia, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh adik mendiang yang juga Pengarang Urusan Kumpulan (GME), Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad, Jasbant Singh, sebentar tadi.
Mendiang sebelum ini pernah dilaporkan berdepan dengan masalah hati dan buah pinggang.
Pemergian beliau nyata meninggalkan kesan mendalam kepada industri media tanah air, khususnya dalam kalangan penonton setia Buletin TV3 yang membesar dengan laporan khasnya sejak era 1990-an.
Mendiang cukup dikenali dengan gaya penyampaian tersendiri yang penuh berkarisma, termasuk penggunaan pantun sebagai penutup laporan – satu identiti unik yang menjadikan beliau mudah diingati dan dekat di hati rakyat Malaysia.
Dilahirkan dalam keluarga bekas polis Punjabi Sikh di Teluk Intan, Perak pada 1959, Datuk Karam Singh Walia adalah wartawan penyiaran di stesen televisyen swasta negara, TV3 yang telah berkhidmat sejak dari tahun 1995 hingga bersara pada 2014.
Semasa di TV3, Datuk Karam memenangi pelbagai anugerah kewartawanan atas pelbagai laporan eksklusif mengenai isu-isu alam sekitar dan kemasyarakatan.
Sepanjang kerjayanya, beliau banyak menghasilkan laporan berimpak tinggi, terutamanya berkaitan isu alam sekitar, pembangunan dan kepentingan masyarakat.
Dedikasi serta komitmen beliau dalam menyampaikan berita secara telus dan berintegriti menjadikan beliau antara figura penting dalam dunia penyiaran negara.
Rakan-rakan media serta orang ramai turut menzahirkan ucapan takziah dan penghargaan atas jasa besar beliau.
Pemergian beliau bukan sahaja satu kehilangan besar kepada industri media, malah turut dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia yang pernah mengikuti laporan-laporan ikoniknya.-MYNEWSHUB

