JOHOR BAHRU – Pengumuman manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dua hari lepas, disambut baik segenap lapisan masyarakat di negeri ini.
Rata-rata menyifatkan manifesto berkenaan bersifat rasional selain memenuhi kehendak dan keperluan rakyat terutamanya menaik taraf Lebuhraya Plus Malaysia Bhd. (PLUS) dari Yong Peng ke Johor Bahru daripada empat lorong menjadi enam lorong dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Seorang peniaga makanan, Mahanum Abdul Rahman, 45, berkata pengumuman kenaikan BR1M dan dua kategori baharu penerima bagi isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 yang akan mendapat RM700 merupakan satu langkah mesra rakyat yang dapat membantu mengurangkan beban masyarakat.
“Inisiatif berkenaan (BR1M) bagus sebab dengan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu. Bagi golongan berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 pula, walaupun tidak banyak, tetapi ia dapat membantu dari sudut yang tertentu,” katanya yang ditemui Bernama di premis perniagaannya di Terminal Larkin Sentral, di sini, hari ini.
Ibu kepada empat anak ini yakin kerajaan mampu mengotakan janji berdasarkan inisiatif yang sudah dilaksanakan sekali gus mampu menyediakan pelbagai inisiatif yang lebih baik kepada rakyat sekiranya diberi mandat sekali lagi.
Pesara kerajaan, Abu Bakar Mohd Noah, 66, menyifatkan inisiatif menaikkan taraf lebuh raya daripada empat lorong kepada enam lorong amat dinantikan sekian lama rakyat Johor bagi mengatasi beberapa isu di kawasan lebuh raya berkenaan.
“Pada saya, sekarang dan keadaan akan datang menjelang 2020, kenderaan akan bertambah terutamanya pada musim-musim perayaan. Saya rasa, lima tahun yang lalu sudah patut dibesarkan lorong untuk keselesaan pengguna. Kalau boleh jangan lambat, cepat sikit dilaksanakan projek ini,” katanya yang pernah terkandas 45 minit ketika dalam perjalanan dari Ayer Hitam menuju ke Johor Bahru akibat berlaku kemalangan di lebuh raya itu.
Berhubung BR1M, Abu Bakar turut menyifatkan ia merupakan inisiatif yang bagus, namun, kerajaan perlu membuat pemantauan ke atas penerima kerana dikhuatiri ia membazirkan wang kerajaan ekoran terdapat individu yang mengambil kesempatan.
Seorang pekerja restoran makanan segera, Iskandar Mohd Zain, 26, berkata janji BN untuk mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang disifatkan rasional dengan limpahan graduan kini.
“Saya mengharapkan gaji diselaraskan kerana sekarang pun kalau kita lihat, gaji masih lagi tidak selaras dengan apa yang dijanjikan. Saya bersetuju dengan penetapan gaji minimum RM1,500, namun, saya melihat ia perlu dinaikkan lagi menjelang 2023 selaras dengan harga barang yang kian naik.
“Saya juga setuju dengan penambahan peluang pekerjaan kerana ramai para graduan muda sukar untuk mendapat kerja. Sekarang bila kerajaan wujudkan peluang pekerjaan lebih banyak, maka, mudahlah untuk para graduan baharu dan golongan muda untuk dapat pekerjaan,” katanya yang berharap masyarakat terus menyokong BN dan UMNO demi kesejahteraan rakyat.
Penuntut jurusan Pentadbiran Perniagaan di sebuah universiti tempatan, Nur Fazirah Ibrahim, 21, pula menyifatkan langkah kerajaan untuk memastikan generasi muda bawah 30 tahun akan mendapat peluang pekerjaan atau latihan sekurang-kurangnya enam bulan selepas tamat pengajian sebagai sesuatu yang amat diperlukan anak muda.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana wujudkan peluang pekerjaan dan ia bagus kerana saya adalah pelajar institusi pengajian tinggi yang akan menamatkan pengajian tidak lama lagi. Saya percaya dengan ini, peluang pekerjaan akan lebih terjamin.
“Saya juga setuju dengan hal ini (latihan) kerana ia akan meningkatkan kemahiran para pelajar untuk bekerja dengan lebih efisyen dan harapan saya, saya akan mendapat pekerjaan yang boleh menjamin masa depan selepas tamat pengajian,” katanya. – BERNAMA