SEREMBAN – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan telah menerima lebih 100,000 anggota sukarelawan di seluruh negeri sejak tahun 2010 sehingga bulan lepas.
Pengarah APM Negeri Sembilan Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata syarat umum pengambilan anggota adalah berumur 18 hingga 45 tahun dan mereka didaftarkan mengikut dua kategori.
“Kategori pertama adalah anggota sukarela yang selesai berkursus asas, mereka boleh melaksanakan tugas kecemasan APM secara keseluruhannya manakala kategori kedua adalah mereka didaftar sebagai ejen pertahanan awam yang mana mereka akan menghebahkan fungsi dan peranan APM kepada masyarakat.
Anggota ini juga dilatih untuk persediaan yang lebih rapi dalam menghadapi krisis, kemalangan, kecemasan atau bencana,” katanya semasa berucap di Majlis Perhimpunan Setia dan Pemakaian Pangkat Bersekutu APM Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Dalam majlis tersebut, sembilan orang guru telah dilantik menjadi pegawai-pegawai bersekutu APM, yang akan bertindak sebagai pelatih kepada pelajar-pelajar sekolah yang menyertai Kadet APM.
Mereka terdiri daripada lapan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perpatih, Gemas dan seorang daripada Sekolah Kebangsaan Senaling, Kuala Pilah. – BERNAMA

