Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan kenaikan harga diesel sebanyak tiga kali pada kadar yang sama 80 sen sebagai sesuatu yang aneh.
Beliau mempersoalkan sama ada kenaikan harga yang sama sebanyak 80 sen tersebut secara kebetulan atau memang mengikut formula formula Mekanisme Harga Automatik (APM)
“Harga di pasaran sudah naik melampau. Tengok semalam dalam tempoh tiga minggu sahaja harga pasaran di pasaran sudah naik tiga kali. Sebanyak 80 sen setiap kali (hingga) ke RM5.52 seliter.
“Setiap kali naik 80 sen, tak lebih tak kurang, tetap 80 sen. Eh, biar betul. Ini secara kebetulankah atau memang hasil perhitungan mengikut formula APM yang telah diumumkan sebelum ini.
“Kalau dikira mengikut formula APM, tak mungkin dapat dibulatkan kepada angka 80 sen (sama) sahaja,” katanya menerusi satu rakaman video hari ini.
Justeru, Ka Siong mempersoalkan sama ada formula APM telah diubah atau ditambah dengan komponen cukai baharu yang tidak dimaklumkan kepada rakyat.
Beliau menegaskan, kerajaan perlu tampil memberi penjelasan, bukan membiarkan rakyat tertanya-tanya dalam keadaan harga bahan api semakin menekan.
Ka Siong menjelaskan, kenaikan harga diesel memberi kesan berantai yang besar kepada ekonomi, khususnya dalam sektor yang bergantung penuh kepada bahan api itu seperti logistik, pertanian, pembinaan dan perkilangan.
“Apabila harga diesel naik mendadak, kos pengangkutan terus meningkat. Tetapi kesannya tidak berhenti di situ. Kos operasi sektor-sektor ini turut melonjak dan akhirnya memberi kesan kepada harga barangan di pasaran,” katanya.
Beliau menggambarkan situasi itu sebagai tekanan berlapis kerana kenaikan diesel bukan memberi kesan sekali, tetapi berulang kali sepanjang rantaian bekalan daripada pengeluaran hingga ke penghantaran kepada pengguna.
Tambah beliau, peniaga tidak mampu menyerap keseluruhan peningkatan kos tersebut, menyebabkan harga barangan terpaksa dinaikkan.
“Bila kos angkut naik, harga barang naik. Bila kos operasi naik, harga barang naik. Bila kos penghantaran naik, harga barang naik. Inilah tekanan inflasi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Ka Siong memberi amaran apabila harga telah meningkat, ia sukar untuk kembali turun dalam masa singkat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada kerajaan menggunakan kekuatan kewangan negara apabila harga minyak global meningkat seperti yang dilakukan beberapa negara lain.
“Tugas kerajaan adalah melindungi rakyat, bukan memindahkan kejutan harga terus kepada rakyat,” tegasnya.
Kedua, beliau menyarankan sebarang pelarasan harga diesel dibuat secara berperingkat dan berhemah, bukan secara mendadak.
“Naik sedikit demi sedikit supaya pasaran boleh menyesuaikan diri, peniaga boleh merancang dan rakyat masih ada ruang untuk bernafas,” katanya.
Ka Siong turut mengingatkan bahawa kenaikan diesel bukan sekadar melibatkan bahan api semata-mata, tetapi memberi kesan langsung kepada kos makanan, barangan harian dan keseluruhan kos sara hidup.
“Rakyat sudah susah, jangan buat mereka lebih susah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Wee Ka Siong


