KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) komited untuk membayar dividen RM19 bilion kepada kerajaan pada 2018, berbanding RM16 bilion pada 2017.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata Petronas memperuntukkan RM55 bilion bagi perbelanjaan modal berbanding RM44.5 bilion pada tempoh yang sama.
“Petronas terus memacu pengeluaran lebih tinggi dan kecemerlangan operasi telah meletakkan syarikat di kedudukan kukuh untuk melaksanakan strategi jangka panjang,” katanya semasa taklimat media mengenai prestasi kewangan 2017 Petronas di sini, hari ini.
Beliau berkata, Petronas akan memanfaatkan sepenuhnya aset serta memperluaskan perniagaan minyak dan gas utama menerusi model perniagaan bersepadu selain menambah asas sumber untuk menjamin masa depan syarikat.
“Strategi ini akan membolehkan Petronas berkembang di rantau strategik seperti ASEAN, subbenua India, Asia Barat dan Amerika,” katanya.
Keuntungan bersih Petronas pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 melonjak 91.2 peratus kepada RM45.4 bilion daripada RM23.8 bilion pada 2016.
Perolehan turut meningkat 14.6 peratus kepada RM223.6 bilion daripada RM195.1 bilion yang dicatatkan pada 2016. Kekukuhan itu didorong harga jualan purata direalisasikan lebih tinggi yang diraih produk utama.
Prestasi cemerlang ini dipacu oleh usaha transformasi berterusan syarikat yang menumpukan pengoptimuman kos dan penambahbaikan kecekapan selain disokong harga komoditi lebih tinggi dan peningkatan margin.
“Perolehan lebih kukuh itu pula didorong harga purata direalisasikan lebih tinggi yang diraih produk utama di samping kesan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya.
Beliau berkata aset keseluruhan setakat 31 Disember 2017 turun sedikit kepada RM599.8 bilion daripada RM603.4 bilion pada 2016, disebabkan terutamanya kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.
Wan Zulkiflee berkata, aliran tunai daripada aktiviti pengoperasian bertambah kepada RM75.7 bilion, peningkatan 41 peratus daripada RM53.8 bilion pada 2016.
Pemulihan sederhana harga minyak, ditambah dengan usaha dalaman yang giat untuk meningkatkan kecekapan, telah menyumbang kepada prestasi kukuh 2017 syarikat.
Bagaimanapun, kemampanan harga minyak mentah semasa masih dapat dilihat, katanya. Beliau berkata, belanjawan 2018 Petronas akan dirangka berdasarkan anggaran harga minyak US$52 (US$1 = RM3.91) setong.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2017, untung bersih Petronas melonjak 61 peratus kepada RM18.2 bilion daripada RM11.3 bilion pada suku yang sama 2016.
Prestasi itu didorong perolehan lebih tinggi dan susut nilai bersih lebih rendah ke atas aset dan kos yang baik. Perolehan pada suku yang dinilai itu meningkat 14 peratus kepada RM61.8 bilion.
Ia dipacu oleh harga purata direalisasikan lebih tinggi dicatatkan produk utama, dan peningkatan jumlah jualan terutama daripada gas asli cecair dan produk petroleum. – BERNAMA

