Sunday, April 28, 2024

Creating liberating content

10 Ditahan, Dadah 156kg...

KUALA LUMPUR - Seorang polis bantuan antara 10 lelaki ditahan di sekitar Ampang...

KPM, Jakim Tentukan Terma...

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan berbincang berhubung...

8 Termasuk 3 Wanita...

KEPALA BATAS - Polis menahan lapan individu termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan...

Mayat Bayi Lelaki Ditemukan...

IPOH - Mayat seorang bayi lelaki ditemukan di dalam bungkusan plastik merah beserta...

‘SIP’: Aras Baru Perlindungan Pekerjaan Negara

KUALA LUMPUR – Mulai Januari 2018, semua pekerja sektor swasta mula mencarum untuk Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Program insurans yang dilihat sebagai jaringan keselamatan sosial ini adalah satu perkembangan baru yang belum pernah berlaku dalam sejarah bidang pengurusan pekerjaan di negara ini.

Ia bertujuan membantu warga pekerja yang berdepan dengan kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan sambil mencari peluang pekerjaan baru.

Perkara yang baru lazimnya akan mengundang pelbagai persoalan dan tidak kurang juga tohmahan daripada pelbagai pihak. Seperti juga SIP, seribu macam persoalan dilontar kerana ada yang masih belum memahami tujuan sebenar program berkenaan diadakan.

Untuk rekod, amalan insurans pengangguran diamalkan di 72 negara di seluruh dunia. Hampir semua negara maju termasuk 35 negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mempunyai program SIP mereka sendiri.

Malah ada beberapa negara maju melaksanakan sistem ini sejak awal abad ke-20 seperti Perancis pada tahun 1905 dan United Kingdom pada 1911.

Kepelbagaian caruman skim SIP juga berbeza mengikut negara. Ada negara yang mengamalkan sistem caruman tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja. Ada juga yang mengamalkan sistem caruman dua pihak (majikan dan pekerja) dan ada yang hanya mewajibkan majikan untuk mencarum.

Peratusan caruman juga ditentukan mengikut sistem yang diamalkan di negara masing-masing. Di Perancis golongan pekerja mencarum 2.4 peratus manakala majikan mencarum sebanyak empat peratus. Di Korea Selatan pekerja dan majikan masing-masing mencarum 0.65 peratus.

Malaysia mencatatkan peratusan caruman SIP terendah di dunia dengan caruman 0.2 peratus oleh dua pihak iaitu majikan dan pekerja.

SISTEM, BUKAN SKIM

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata SIP adalah satu program insurans pengangguran yang amat kompleks ditawarkan kerajaan demi memastikan golongan pekerja sentiasa berasa diri mereka dilindungi sekiranya mereka kehilangan pekerjaan tanpa dijangka.

Dengan caruman ini, mana-mana pekerja yang kehilangan pekerjaan boleh mendapat bantuan kewangan segera, bantuan carian pekerjaan baru serta diberikan latihan untuk mempelajari set kemahiran baru untuk membolehkan dirinya kembali ke pasaran kerja.

Beliau menjelaskan dalam satu kenyataan, terma ‘sistem’ digunakan kerana SIP melibatkan pelbagai komponen seperti bantuan kewangan dan perkhidmatan pekerjaan termasuk program latihan yang turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan.

Masakan tidak, melalui program ini Perkeso menawarkan pelbagai bentuk bantuan dan sistem sokongan untuk golongan pekerja. Antaranya ialah bantuan kewangan sebagai Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sehingga enam bulan selepas kehilangan pekerjaan. Bantuan itu untuk meringankan beban kos sara hidup sementara seseorang itu mencari pekerjaan baru.

Dalam kerangka kerja SIP, Perkeso turut merancang kerjasama dengan portal seperti JobsMalaysia (www.jobsmalaysia.gov.my) dan JobStreet (www.jobstreet.com.my) untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan mencari pekerjaan baru.

Pelaksanaan SIP juga melibatkan kerjasama dengan pelbagai pusat latihan di seluruh negara untuk melatih semula tenaga kerja negara ini yang kehilangan pekerjaan dengan kemahiran baru berdasarkan minat serta keperluan pasaran kerja.

AMALAN ANTARABANGSA

Mengulas lebih lanjut mengenai “insurans pengangguran” , Richard berkata “ ia memberi konotasi negatif seolah-olah menggambarkan kita menggalakkan pengangguran dan mentaliti kebajikan.

“Sebenarnya tujuan pelaksanaan SIP adalah supaya pekerja berasa dilindungi walaupun kehilangan pekerjaan. Dalam erti kata lain, pekerja akan dibantu oleh kerajaan jika mereka kehilangan pekerjaan,” ulas beliau.

Jumlah negara yang mengadaptasi sistem insurans pekerjaan meningkat terutamanya selepas ‘The Great Depression’ pada awal 1930-an dan selepas Perang Dunia Kedua.

Di Korea Selatan, pelaksanaan sistem ini diperkukuhkan sebagai langkah menangani krisis kewangan yang melanda Asia pada 1997. Thailand pula memulakan program SIP mereka pada 2004 setelah pulih daripada krisis kewangan pada 2001.

Di Malaysia, situasi serupa berlaku. Selepas melalui pengalaman pahit krisis kewangan pada 1997 dan 2008 kerajaan sedar akan perlunya pelaksanaan sistem insurans pengangguran bagi melindungi golongan pekerja.

“Ramai pekerja diberhentikan kerana syarikat tempat mereka bekerja gulung tikar ketika krisis 1997 dan 2008. Kebanyakan pekerja ini tidak mendapat apa-apa pampasan. Kasihan mereka,” kata Ketua Pegawai SIP Perkeso, Datuk Mohd Sahar Darusman dalam sesi temubual esklusif bersama Bernama.

KELAYAKAN SIP


Secara umum, terdapat sembilan situasi kehilangan pekerjaan yang dilindungi di bawah Seksyen 30 Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800).

Pemberhentian kerja, pelaksanaan ‘voluntary/mutual saperation scheme’ (VSS atau MSS), penutupan tempat kerja akibat keadaan luar jangka seperti bencana alam, rusuhan, kebakaran dan kebocoran gas termasuk dalam liputan perlindungan SIP.

Selain itu, pekerja turut dilindungi jika berlaku penutupan perniagaan akibat bankrap atau majikan melarikan diri serta berlakunya kemungkiran terma dan syarat kontrak oleh majikan.

Kehilangan pekerjaan akibat pengecilan operasi syarikat atau pembuangan pekerja akibat adopsi teknologi baharu juga dilindungi SIP.

Paling menarik, sistem ini turut melindungi pekerja yang diarah melaksanakan tugas di luar skop yang membahayakan keselamatan dan kesihatan mereka. Turut tidak ketinggalan ialah perletakan jawatan disebabkan ugutan majikan kepada pekerja atau keluarganya atau akibat gangguan seksual terhadap pekerja.

Bagaimanapun, perlindungan SIP tidak meliputi keadaan seperti kehilangan pekerjaan akibat berlakunya salah laku, perletakan jawatan secara sukarela, bersara wajib dan tamatnya kontrak perkhidmatan termasuk penamatan kontrak atas persetujuan bersama ataupun penyiapan kerja mengikut terma kontrak perkhidmatan.

Untuk rekod, sehingga Februari 2018 Perkeso membayar pampasan SIP kepada 1,336 pemohon di seluruh negara.

CARA MEMOHON BANTUAN

Permohonan bantuan SIP tidak memerlukan proses yang sukar mahupun masa yang panjang. Ia boleh dibuat secara dalam talian di laman www.perkeso.gov.my/sip dalam tempoh 30 hari daripada tarikh pemberhentian kerja berkuat kuasa.

Setiap permohonan perlu disertakan dengan bukti kehilangan pekerjaan yang boleh dikemukakan dalam pelbagai bentuk, bergantung kepada situasi pemohon.

Bagi kes biasa, dokumen bukti yang diperlukan adalah seperti surat pemberhentian kerja, surat pengesahan pemberhentian kerja oleh Jabatan Tenaga Kerja, rekod penggajian, slip gaji, rekod kedatangan kerja, dokumen penerimaan VSS atau MSS serta surat lantikan kerja.

Bagi kes yang melibatkan kejadian gangguan seksual, pemohon perlu menyertakan salinan laporan polis. Bagi kes pelaksanaan tugas di luar skop yang membahayakan keselamatan dan kesihatan pula, pemohon boleh menyertakan surat arahan kerja, sekiranya ada.

Pemohon yang berjaya akan dimasukkan ke dalam program penempatan pekerjaan kelolaan Perkeso. Pembayaran bantuan kewangan juga akan dibuat dalam tempoh yang sama.

Tanggungjawab pemohon yang seterusnya adalah untuk sentiasa melaporkan kepada Perkeso tentang aktiviti pencarian kerja yang mereka lakukan untuk pertimbangan bantuan kewangan bagi bulan-bulan berikutnya.

CARUMAN RELA HATI

Mungkin ramai yang masih belum memahami konsep caruman yang digunakan Perkeso dalam program seperti Skim Bencana Kerja, Skim Pencen Ilat dan SIP.

“Caruman Perkeso adalah berkonsepkan ‘solidarity fund’. Melalui caruman inilah semua pekerja yang mencarum berkongsi risiko yang sama tanpa mengira risiko tempat kerja yang berbeza mengikut industri kerana risiko ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” kata Mohd Sahar.

Berdasarkan konsep ini, pencarum secara prinsipnya mencarum secara rela hati membenarkan Perkeso menggunakan wang yang dicarum untuk membayar faedah kepada pekerja yang tidak bernasib baik, seperti mangsa yang kehilangan pekerjaan bagi program SIP atau yang terlibat dalam kemalangan di tempat kerja bagi Skim Bencana Kerja.

Mengikut kiraan kasar, pencarum SIP boleh menerima sehingga RM4,365 elaun tunai walaupun nilai caruman para pekerja hanya RM1.90 sebulan (nilai minimum caruman SIP) atau RM22.80 setahun. Ini tidak termasuk bantuan lain seperti yuran latihan dan bantuan bukan kewangan yang turut disertakan dalam pakej SIP.

Maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai SIP boleh dilakukan secara dalam talian di laman www.perkeso.gov.my/sip atau telefon 03-42645360.

Sebagai alternatif, orang ramai juga boleh berkunjung ke lebih 50 pejabat Perkeso di seluruh negara bagi tujuan permohonan dan pertanyaan mengenai SIP dan skim lain kelolaan Perkeso. – BERNAMA

Kategori