KANGAR – Kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negeri Perlis Indera Kayangan semalam membawa khabar gembira dan pelbagai buah tangan untuk seluruh penduduk negeri itu.
Dalam lawatan sehari ke negeri berkeluasan kira-kira 800 kilometer (km) persegi dengan jumlah penduduk hampir 300,000 itu, Najib mengumumkan pelbagai projek baharu yang telah diluluskan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan.
Segak dengan kemeja putihnya, Najib sewaktu berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis mengumumkan peruntukan sebanyak RM41.14 juta untuk Loji Rawatan Air Tasoh, RM50.5 juta untuk menangani isu air tidak terhasil seluruh Perlis dan RM10 juta masing-masing untuk premis di Plazaria Padang Besar dan Bazaria Kangar.
Disambut tepukan gemuruh ribuan hadirin termasuk penjawat awam seluruh Perlis, perdana menteri dengan suara serak basah turut mengumumkan kelulusan pembinaan 1,400 unit rumah Projek Perumahan Rakyat di tiga Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar.
Berhenti seketika untuk menghilangkan dahaga dek cuaca panas mencecah 36 darjah Celsius, Najib kemudian mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk projek pintu kawalan air Sungai Perlis dan RM30 juta untuk menaik taraf Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Seriab.
“Inilah projek-projek rangsangan ekonomi untuk negeri Perlis. Mudah-mudahan ia rangsangkan sesuatu bila sudah sampai tiba masanya nanti,” kata perdana menteri.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang turut hadir pada majlis tersebut percaya segala yang dirancang itu akan meningkatkan lagi kerancakan ekonomi termasuk peluang pekerjaan baharu untuk dimanfaatkan rakyat negeri tersebut.
Najib dalam ucapan turut menempelak dakwaan kononnya kerajaan tidak mampu membayar hutang sebaliknya menjelaskan, hutang negara berada dalam paras terkawal.
Malah, perdana menteri dilihat bertegas dan mahukan rakyat Perlis tidak mudah terpengaruh dengan fitnah sesetengah pihak yang cuba menafikan pelbagai kejayaan negara yang telah, sedang dan bakal dikecapi.
“Yakinlah dengan usaha kita (kerajaan) bahawa Malaysia akan terus berjaya sebagai sebuah negara malah akan berjaya dengan lebih hebat lagi di masa akan datang,” katanya.
Kira-kira lima kilometer dari UTC Kangar, Najib kemudian merasmikan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Negeri Perlis 2018 di Dewan 2020 disambut ‘lautan biru’ hadirin yang memakai baju biru memenuhi segenap dewan tersebut.
Di sini, perdana menteri meninggalkan buah tangan terakhir iaitu peruntukan RM9 juta untuk projek-projek kecil seluruh negeri tersebut namun sempat berpesan kemajuan yang lebih pesat mampu dikecapi di seluruh negeri jika mandat yang lebih besar dapat diperoleh BN pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan BN Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata lebih banyak projek pembangunan untuk Perlis mampu dilaksanakan jika majoriti rakyat menyatakan sokongan terhadap BN.
“Hasil gerak kerja kita (BN), jumlah pengundi di Padang Besar sekarang 46,207 dengan lebih 60 peratus menyokong kita. Kangar, jumlah pengundi 55,643 dengan 10,000 belum dibanci, 57 peratus menyokong kita.
“Manakala Arau, 48,427 dengan 1,800 yang belum dibanci, 60 peratus putih (menyokong BN),” katanya.
Mengulas lanjut, Pengerusi MCA Perlis Datuk Chua Tee Yong yang turut berada di dewan tersebut memberitahu Bernama, BN mampu menang 100 peratus di sini jika calon-calon BN bagi pilihan raya umum (PRU) ke-14 diumumkan awal.
“Ini penting untuk strategi dan peluang menjamin kemenangan yang lebih besar berbanding PRU lepas,” katanya dan menegaskan MCA akan bekerja keras untuk merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN Sanglang) dan (DUN) Indera Kayangan daripada genggaman pembangkang pada PRU kali ini.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Perlis Syed Atief Syed Abu Bakar berkata Najib memberikan isyarat jelas bahawa BN mampu memberikan lebih banyak projek pembangunan dan menunaikannya, bukan sekadar menanam tebu di bibir.
Jelasnya, penduduk Perlis khasnya pengundi perlu bijak membuat ‘pangkahan’ apabila tiba masanya nanti dan bukannya dipengaruhi sentimen mahupun emosi yang kelak merugikan diri. – BERNAMA

