BALING – Golongan pentadbir masjid termasuk imam dan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) perlu bermuafakat dalam menangani golongan pelampau agama yang banyak mensasarkan golongan muda.
Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, hanya melalui kerjasama itu, pentadbir masjid mampu menyalurkan maklumat tepat kepada golongan muda dalam masyarakat.
“Sebab itu diadakan seminar sebegini sebagai cara terbaik dalam memberi taklimat berkaitan ancaman dari sudut agama, akhlak malah fitnah dalam media sosial yang berlaku pada masa kini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Muafakat Ummah bersama Para Imam dan Guru Kafa peringkat Parlimen Baling di sini hari ini.
Seramai 1,000 peserta yang terdiri daripada imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid dari 66 masjid di negeri ini menyertai seminar itu.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohd Noor Mohd Amin berkata, isu pelampau agama ini perlu ditangani dengan penuh bijaksana.
“Golongan pelampau agama ini bergerak secara halus termasuk menggunakan medium hasutan dari sudut yang disukai orang muda seperti media sosial dan dadah,” katanya. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…

