ARAU – Siri Jelajah Taklimat Petugas Media Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 memasuki fasa akhir apabila lebih 100 pengamal media di Zon Utara menyertai taklimat berkenaan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini.
Taklimat yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan bermula dari pukul 9 hingga 11 pagi itu disampaikan Pengarah Akademi Pilihan Raya, Hasanul Isyraf Naim.
Ia antara lain menyentuh mengenai proses perjalanan sistem pilihan raya selain simulasi senario proses pengundian dan pengiraan undi yang akan dilakukan di pusat mengundi pada hari pengundian.
Pengamal media juga diberi penerangan dan penjelasan mengenai isu-isu berbangkit selain tatatacara membuat liputan pada pilihan raya.
Sebelum ini Terengganu menjadi negeri pertama lokasi jelajah itu sebelum ia turut diadakan di setiap negeri seperti Kelantan, Selangor, Pahang, Sabah, Sarawak dan Melaka.
Sejurus selesai taklimat itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah turut melancarkan kempen #JomKitaSemak dan #JomKitaUndi.
Ia bertujuan mencetus usaha menguar-uarkan mesej seruan kepada rakyat untuk menyemak daftar pemilih sebelum pilihan raya dan keluar menunaikan tanggungjawab mengundi. – BERNAMA

